Rakaez Dakwah – Tadhiyah (Pengorbanan)

Rakaezud Dakwah (Konsep Dasar Gerakan Dakwah)

Oleh – Dr. Majdi Al-Hilali

 

TADHIYAH (PENGORBANAN)

 

Suhaib telah berkata:

Apa bila aku hendak berhijrah dari Mekah kepada Rasulullah saw. , orang Quraish telah berkata kepada aku: “Wahai Suhaib, engkau telah datang kepada kami dengan tanpa engkau memiliki harta sedangkan engkau hendak keluar dengan harta engkau. Demi Allah engkau tidak akan dapat berbuat demikian.”  Aku berkata kepada mereka: ” Bagaimana sekiranya aku serahkan harta aku kepada kamu dan kamu tidak akan mengganggu aku lagi?” Mereka menjawab: “Ya, boleh.” Aku pun menyerahkan harta aku kepada mereka  mereka tidak mengganggu aku lagi. Aku pun telah keluar sehingga sampai ke Madinah. Perkara itu telah diketahui oleh Rasulullah saw., lalu baginda bersabda: “Beruntunglah Suhaib, beruntunglah Suhaib, sebanyak dua kali.” Padanya dan orang yang sama sepertinya telah diturunkan ayat:

Maksudnya: Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata, dan Allah pula Amat Belas Kasihan akan hamba-hambaNya. (Al Baqarah: 207)

 

Pengorbanan Tanda Tajarrud.

Kami telah menyebut tentang pengertian tajarrud iaitu setiap dari kita hendaklah mengosongkan hatinya dari kecintaan terhadap dunia dan keinginan dirinya serta menjadikannya semata-mata cintakan Allah, dakwah dan jihad di jalanNya.

Dalil amali yang membuktikan tajarrud terhadap Allah ialah pengorbanan. Setiap dari kita hendaklah bersedia untuk berkorban dengan segala sesuatu untuk agamanya samada ianya merupakan jiwa, harta, pangkat, keluarga dan lain-lainnya.

Allah berfirman:

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu , dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbangkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih dari pada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka) (At Taubah: 24)

Ustaz Syed Qutub berkata: Allah telah meletakkan segala kemewahan dan kenikmatan di dalam satu bekas dan aqidah serta persoalannya yang terdiri daripada cintakan Allah, RasulNya dan jihad di jalanNya di dalam bekas yang lain; Jihad dengan segala persoalan dan kesulitannya. Jihad dengan segala bebanan, kesukaran, kepedihan, pengorbanan, luka, syahid … jihad yang tidak akan dapat sebutan orang ramai. Jihad yang sunyi dari bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk…sunyi dari perasaan penduduk bumi, perhatian mereka dan hendak dipersaksikan oleh mereka.

Ia adalah suatu yang besar… ia adalah suatu kesusahan, akan tetapi hanya itu sahaja … Sekiranya tidak dilakukan, maka nantilah balasan Allah. Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Allah tidak mentaklifkan perkara ini ke atas sekumpulan orang yang beriman kecuali Dia mengetahui bahawa fitrah mereka mampu melaksanakannya. Sesungguhnya Allah tidak mentaklifkan kepada manusia sesuatu yang diluar kemampuan mereka.

Adalah daripada rahmat Allah kepada hambaNya bahawa Dia memberikan keupayaan yang tinggi kepada fitrah manusia untuk bertajarrud kepada Allah dan memikul bebanan dan diberikan kepada mereka perasaan kelazatan yang tinggi terhadap tajarrud yang tiada bandingnya dengan kelazatan dunia seluruhnya… kelazatan berhubung dengan Allah, kelazatan mengharapkan keredhaan Allah, kelazatan dapat mengatasi perasaan berat badan, kelemahan dan menuju ke ufuk yang bersinar.

Bukanlah yang dimaksudkan dengan pengorbanan seseorang itu memutuskan hubungan dengan keluarga, anak-anak, harta, kerja  dan kenikmatan serta dia lari dari nikmat kehidupan yang lain. Akan tetapi akidah ini mahukan dia supaya meengosongkan hatinya  dari mengasihinya dan mencintainya.

Apabila semuanya ini telah sempurna maka tidak menjadi kesalahan kepada seseorang mukmin berseronok dengan benda-benda yang baik di dalam kehidupan dengan syarat dia bersedia melepaskannya ketika mana ia bertentangan dengan tuntutan-tuntutan akidah.

 

Tidak Ada Kerehatan Bagi Mukmin Di Dunia.

Kita di dalam dunia adalah seperti seorang pengembara dan ia merupakan penjara bagi orang yang beriman. Sabda  Rasulullah saw.:    

Maksudnya: Dunia adalah penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir. (Dikeluarkan oleh Muslim dalam kitab zuhud)

Maka berkorbanlah di jalan dakwah kita dengan perkara yang mahal ataupun yang murah. Jangan kita redha diri kita bersama orang -orang yang tertinggal di belakang.

Allah berfirman: 

Maksudnya: Sesungguhnya jalan (untuk mengenakan seksa) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu sedangkan mereka kaya dan mampu. Mereka suka tinggal bersama orang-orang yang ditinggalkan (kerana uzur), dan (dengan sebab) itu hati mereka dimeteraikan keatasnya, sehingga mereka tidak dapat mengetahui (perkara yang baik) (At Taubah: 93)

Sesungguhnya Allah telah menutup pintu kesedaran dan pintu ilmu bagi orang -orang tersebut yang telah mengundurkan diri daripada peperangan. Mereka telah merosakkan deria penerimaan mereka disebabkan  mereka lebih redai untuk diri mereka dengan sifat malas, jumud serta mereka terhijab dari aktif dan cergas untuk bergerak.

Keamanan yang hina dan kerehatan yang dusta yang menimpa mereka adalah disebabkan mereka telah mengosongkan jiwa mereka daripada faktor-faktor pendorong, mencoba, mengkaji dan mempelajari. Keamanan yang palsu telah menutup pintu perasaan, mengunci hati dan akal.

Bergerak melakukan kerja dakwah adalah dalil seorang itu hidup. Menghadapi kemerbahayaan akan membangkitkan jiwa dan keupayaan beramal, menguatkan anggota, dan mendedahkan persediaan-pesediaan yang selama ini tersembunyi. Ianya akan terbit apabila ianya diperlukan. Kepayahan juga akan melatih keupayaan manusia untuk berkerja dan mengasahnya untuk menyahut panggilan…Semuanya itu adalah merupakan ilmu dan pengetahuan yang tidak diingini oleh penuntut-penuntut kerehatan yang dusta dan keamanan yang palsu. 1

 

Antara Bentuk- bentuk Pengorbanan.

Di sini kita mengatakan bahawa tidak ada jihad tanpa pengorbanan. Sesiapa ayng menyangka bahawa dia berupaya berjihad di jalan Allah tanpa pengorbanan dengan harta, masa dan jiwa…maka dia telah tersalah anggap dan silap di dalam perkiraan.

Rupa bentuk pengorbanan adalah banyak. Di antaranya ialah pengorbanan dengan harta dan menafkahkannya di jalan Allah. Di antaranya lagi ialah berhijrah meninggalkan kampong halaman. Di antaranya lagi ialah pengorbanan dengan kedudukan dan berpisah dengan keluarga dan saudara-saudaranya. Di ataranya lagi ialah pengorbanan dengan jiwa dengan berjihad di jalan Allah.

Demikianlah Suhaib Ar Romi telah berkata:

Apa bila aku hendak berhijrah dari Mekah kepada Rasulullah saw. , orang Quraish telah berkata kepada aku: “Wahai Suhaib, engkau telah datang kepada kami dengan tanpa engkau memiliki harta sedangkan engkau hendak keluar dengan harta engkau. Demi Allah engkau tidak akan dapat berbuat demikian.”  Aku berkata kepada mereka: ” Bagaimana sekiranya aku serahkan harta aku kepada kamu dan kamu tidak akan mengganggu aku lagi?” Mereka menjawab: “Ya, boleh.” Aku pun menyerahkan harta aku kepada mereka  mereka tidak mengganggu aku lagi. Aku pun telah keluar sehingga sampai ke Madinah. Perkara itu telah diketahui oleh Rasulullah saw., lalu baginda bersabda: “Beruntunglah Suhaib, beruntunglah Suhaib, sebanyak dua kali.” [2]Padanya dan orang yang sama sepertinya telah diturunkan ayat:

Maksudnya: Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata, dan Allah pula Amat Belas Kasihan akan hamba-hambaNya. (Al Baqarah: 207)

Ini dia sahabat yang agung, Dhamrah bin Jundub ketika mendengar ayat :

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat  semasa mereka sedang menginiaya diri mereka sendiri (kerena enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela dirinya ditindas oleh kaum kafir musyrik)  mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.” Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?”  Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaan tempat akhir mereka adalah neraka jahannam, dan nereka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berupaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui satu jalan (untuk berhijrah). (An Nisa’: 97,98)

Ketika mendengar ayat ini beliau sedang berada di Mekah dan belum berhijrah. Beliau telah tua dan tidak berupaya untuk berhijrah, lalu dia berkata kepada anaknya: “Tangunggunglah aku, sesungguhnya aku bukan dari golongan yang lemah dan sesungguhnya aku akan berjalan menuju jalanan. Demi Allah aku tidak akan tinggal di Mekah walaupun semalaman (selepas mendengar ayat ini).

Mereka telah menanggungnya di atas unsungan menuju ke Madinah dan beliau telah meninggal dunia di  Tan’im. Apabila dia merasai akan kematiannya, dia telah menggenggam tangan kanannya ke dalam tangan kirinya dan kemudian berkata: “Ya Allah, ini adalah kerana Engkau dan Rasul Engkau, aku membai’ah Engkau dia atas perkara yang telah dibai’ahkan oleh Rasul Engkau. ” Lalu dia telah meninggal dunia dalam keadaan yang terpuji.

Apabila beritanya sampai ke pengetahuan sahabat-sahabat Rasulullah saw. , mereka telah berkata: “Jika dia meninggal di Madinah nescaya ganjarannya akan lebih sempurna.” Orang muysrikin telah tertawa sambil berkata: “Apakah yang dia perolehi daripada apa yang dituntutnya?” Maka turun ayat     Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah du jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam) , nescaya mereka akan mendapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezki yang makmur, dan sesipa yang keluar dari rumahnya untuk tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati ( di dalam perjalanannya), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (An Nisa’: 100)

Pada suatu hari Mus`ab bin Umair telah keluar kepada beberapa orang muslimin yang sedang duduk di sekeliling Rasulullah saw. . Apabila mereka melihatnya, mereka telah menundukkan kepala dan pandangan mereka serta beberapa orang dari mereka telah menitiskan air mata kerana sedih. Itu adalah kerana mereka melihatnya…memakai jubah yang lama dan usang serta bertampung-tampung. Mereka telah terkenangkan rupa parasnya sebelum dia memeluk Islam, ketika mana pakaiannya adalah seperti bunga-bunga di taman yang sedang mengembang dan baunya sungguh harum sekali. Rasulullah saw. telah teingat keadaannya dan telah bersabda: “Aku telah melihat Mus`ab sebagini rupa sedangkan ketika di Mekah dia adalah seorang pemuda yang mewah di samping dua ibu bapanya. Kemudian dia telah meninggalkan itu semua kerana cintakan Allah dan RasulNya. 2

Khabbab bin Arat telah berkata: “Kami telah berhijrah bersama Rasulullah saw. kerana mencari keredhaan Allah dan ganjaran kami ada di sisiNya. Di kalangan kami ada yang mati dan tidak dapat merasai ganjaran tersebut sedikitpun. Di antara mereka ialah Mus`ab bin Umair yang telah terbunuh di Uhud. Kami tidak mendapati kain untuk mengkafankannya kecuali sehelai kain selimut yang mana apabila kami tutup bahagian kakinya maka akan kelihatanlah bahagian kepalanya dan apabila kami tutup kepalanya akan kelihatanlah bahagian kakinya. Rasulullah saw. telah mengarahkan kami supaya kami menutup bahagian kepalanya dan menutup kakinya dengan kain perca??. Di kalangan kami ada yang telah masak buahnya(sudah dapat merasai ganjaran)dan dia sedang menunggu untuk memetiknya. (Riwayat al Bukhari, Muslim, at Tirmizi dan Abu Daud)

Ibnu Ishak telah meriwayatkan daripada Asma’  bahawa beliau telah berkata: “Apabila Rasulullah saw. telah keluar untuk berhijrah, Abu Bakar telah keluar bersamanya dengan membawa kesemua hartanya bersama lima atau enam ribu dirham. Beliau telah keluar bersama harta dan Rasulullah saw. . Datukku, Abu Qahafah telah datang berjumpa dengan aku dan dia seorang yang buta lalu berkata: “Demi Allah aku telah melihatnya meninggalkan kamu sedangkan hartanya ada bersamanya sekali.” Aku menjawab: “Tidak wahai datukku, sesungguhnya dia telah meninggalkan kepada kami harta yang banyak.” Aku telah mengambil batu yang banyak dan aku telah letakkan di dalam lubang tempat simpanan harta dan kemudian aku telah meletakkan pakaian di atasnya, aku terus berkata: “Wahai datukku, letakkan tanganmu di atas harta ini.” Asma’ berkata lagi: “Lalu dia pun meletakkan tangannya di atas benda tersebut dan berkata: “Tidak mengapa apabila dia telah meninggalkan ini bagi kamu dan dia telah berbuat baik.” Demi Allah dia tidak meninggalkan sesuatu pun bagi kami akan tetapi aku hanya hendak menenangkan hati orang tua dengan melakukan sedemikian.” 3

Daripada Abdullah bin Masud telah berkata: “Apabila turun ayat : Maksudnya: Dan siapakah yang sanggup memberikan pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik? “

Abu Ad Dahdah telah berkata: “Wahai Rasulullah saw. , Allah mahukan pinjaman daripada kami?” Baginda menjawab: ” Ya, wahai Abu Dahdah.” Dia berkata: “Berikan tangan engkau.” Lalu dia menyambut tangan Rasulullah saw. dan berkata,:” Aku telah meminjamkan kepada Tuhanku kebunku ini.” Kebunnya mengandungi 600 pokok tamar. Dia pun pulang ke kebunnya dan Ummu Dahdah sedang berada di dalam kebun itu, lalu dia memanggil: “Wahai Ummu Dahdah!” Dia menjawab: “Ya“. Lalu dia berkata: ” Keluarlah dari kebun itu, aku telah meminjamkannya kepada Tuhanku.” 4

Daripada Yazid As Sakan bahawa Rasulullah saw. telah ditimpa kemalangan yang berat ketika peperangan Uhud di mana baginda telah memakai dua helai baju perang dan musuh telah menghampirinya. Lalu Mus`ab bin Umair telah mempertahankannya sehingga terbunuh dan Abu Dujanah Simak bin Kharsyah telah menggantikannya sehingga dia mendapat luka yang banyak. Muka Rasulullah saw. telah tercedera. Dua batang giginya telah patah, bibirnya telah pecah berdarah dan pipinya telah berdarah juga. Pada ketika itu baginda telah bersabda: “Siapakah daripada kalangan lelaki yang menjualkan dirinya kerana kami?” Lalu berhamburanlah pemuda-pemuda dari golongan Ansar seramai lima orang, di antaranya ialah Ziad bin Sakan. Mereka telah berperang dan terbunuh sehingga yang terakhir sekali ialah Ziad bin Sakan. Dia telah bertempur sehingga tercedera. Kemudian sekumpulan muslimin telah menyerbu ke arahnya lalu  mempertahankannya sehingga mereka berjaya mengusir musuh daripadanya, lalu Rasulullah saw. telah bersabda: “Bawa dia hampir dengan aku, sesungguhnya dia telah ditimpa kecederaan.” Lalu Rasulullah saw. memangku tapak kakinya sehingga dia meninggal dunia. Dialah Ziad bin Sakan. 5

 

Tidak Ada Jihad Tanpa Pengorbanan.

Sesungguhnya dakwah kita tidak mengakui  sekumpulan orang -orang yang pemalas yang melaung-laungkan Islam sedangkan mereka tidak bergerak walaupun selangkah di sebalik itu… ya…dakwah kita adalah dakwah Islam, dakwah syuhada’, dakwah orang yang telah naik ke tali gantung lalu tengkuk mereka telah dijerut dan hancurlah badan-badan mereka. Bagaimana seorang yang hanya mementingkan isteri, anak-anak, membina rumah yang besar dan mencari wang seribu, dua ribu dan berpuluh-puluh ribu boleh mengaku melakukan kerja dakwah ini? 6

Sesungguhnya engkau wahai saudaraku adalah ahli dakwah. Engkau dikehendaki mewujudkan  satu uamt dan membina sebuah daulah. Engkau dituntut untuk berjihad untuk meninggikan dasar-dasar dakwah dengan mengorbankan harta, kerehatan, masa dan darah engkau di jalannya. 7

 

Di Antara Tuntutan Pengorbanan.œ

Rasulullah saw. telah bersabda : Maksudnya: Hiduplah dengan tidak bermewah-mewahan, kerana kenikamtan tidak akan kekal. 8

Seorang al akh muslim hendaklah mengembalikan dirinya kepada kehidupan yang tidak mewah dan mengurangkan dari mengecapi nikmat dunia sehingga memperolehi kesabaran di atas menanggung bebanan jalan dakwah.

Daripada Abu Musa telah berkata: Sekiranya kamu melihat kami dan Nabi kami, nescaya kamu akan menyangka bahawa bau kami adalah bau kambing. Pakaian kami adalah bulu kibas dan makanan kami adalah tamar dan air. [10]

Daripada Abi Talhah telah berkata: Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw. tentang kelaparan kami. Kami telah mengangkat pakaian kami dan jelas ada seketul batu di perut kami (untuk menahan lapar). Lalu Rasulullah saw. telah mengangkat bajunya dan nampak dua ketul batu di perutnya. (Riwayat At Tirmizi)

Daripada Muhammad bin Sirin telah berkata: Lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah saw. telah tidak mendapat makanan selama tiga hari lalu dia mengambil kulit dan dipanggangnya dan dimakan. Sekiranya dia tidak ada sesuatu, dia akan mengambil batu dan mengikatnya di perutnya. 9

Para tentera mestilah dilatih menanggung kesusahan, berhadapan dengan kesulitan dan menghadapi kegentingan untuk menguatkan keazaman, kesabaran dan memadukan kehendak mereka.

Allah berfirman:  

Maksudnya: Kemudian apabila Thalut keluar bersama-sama tentaranya, berkatalah dia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah dia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai  airnya maka dia adalah dari pengikutku kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya.”  (Sesudah di ingatkan sedemikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya) kecuali sebahagian kecil dari mereka. (Al Baqarah: 249)

Thalut telah berhadapan dengan pertempuran dan bersamanya sekumpulan umat yang tertindas yang telah termaklum dengan ketewasannya demi ketewasan. Dia dan tenteranya berhadapan dengan umat yang gagah. Ini sudah tentu memerlukan satu kekuatan yang tersembunyi yang tidak akan didapati kecuali pada keazaman yang jitu. Keazaman yang mengawal syahwat dan keinginan, sanggup menghadapi kesukaran dan kesusahan dan sanggup menghadapi cobaan demi cobaan…

Pemimpin yang terpilih sekarang ini perlu menguji tenteranya tentang keteguhan dan kesabarannya: teguhnya di dalam menghadapi keinginan dan syahwat dan sabarnya menghadapi kesukaran dan bebanan… mereka adalah seperti setengah riwayat dalam keadaan dahaga, untuk mengetahui siapa yang sabar bersamanya dan siapa yang  berpaling ke belakang.

Maksudnya: Lalu mereka meminum daripadanya kecuali sedikit daripada mereka.

 

Pentingnya Pentarbiahan ke Atas Akhlak Mujahid.

Allah berfirman:

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al Baqarah: 155)

Pertarbiahan jiwa untuk menghadapi bala adalah sangat perlu. Perlu kepada ujian keteguhan untuk menghadapi pertempuran diantara kebenaran dengan kebatilan dengan menghadapi ketakutan dan kesengsaraan, dengan lapar, kekurangan harta, jiwa dan buaha-buahan… sudah pasti perlu kepada ujian ini supaya orang -orang yang beriman mampu memikul bebanan aqidah. Supaya akidah menjadi teguh di dalam jiwa mereka mengikut kadar pengorbanan yang mereka berikan untuknya. Orang yang mempunyai akidah yang murah dan tidak berkorban menunaikan bebanannya, ianya akan mudah terongkai apabila mereka berhadapan dengan ujian buat pertama kalinya.

Tugas-tugas di sini adalah satu nilai untuk meneguhkan akidah di dalam diri tuannya sebelum ia kukuh di dalam jiwa orang lain. Setiap kali mereka merasakan kepahitan dan setiap kali mereka berkorban kerananya, akidah mereka akan menjadi kukuh.

Inilah jalan pentarbiahan yang telah dilalui oleh para sahabat Rasulullah saw. .

Baginda mendidik mereka supaya bekalan mereka di dunia ini hanya sedikit sahaja. Rasulullah saw. telah bersabda: 

Maksudnya: Memadai bagi kamu bekalan daripada harta dunia seperti bekalan penunggang kuda (pengembara). 10

Daripada Jabir bin Abdullah telah berkata: Rasulullah saw. telah mengutuskan kami  dan melantik Abu Ubaidah sebagai ketua untuk kami menyekat angkatan dagang Quraish. Baginda telah membekalkan kepada kami beberapa tangkai tamar tanpa benda selain daripada itu. Lalu dia ditanya: “Bagaimana engkau hendak melakukan dengannya?” Dia berkata: “Kami menghisapnya sebagaimana hisapan bayi kemudian kami minum air, ini memadai bagi kami hingga ke malam dan kami memukulnya dengan kuat kemudian kami membasahkannya dengan air kemudian kami memakannya. (Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah telah berkata: Mereka seramai tujuh orang telah menghadapi kelaparan, lalu Rasulullah saw. telah memberikan kepada aku tujuh biji tamar, setiap seorang sebiji tamar. (Riwayat Ibnu Majah dengan sanad hasan)

Daripada Abu Musa Asy Syaari telah berkata: Kami telah keluar bersama Rasulullah saw. pada satu peperangan dan kami seramai tujuh orang. bersama kami ada seekor unta yang kami ekori. Tapak-tapak kami telah berlubang dan tapak kaki aku juga telah berlubang serta kuku aku telah tercabut. Kami hanya meenyalut kaki kami dengan kain perca. Peperangan ini telah dinamakan dengan (Dzat ar-Riqaa’) Peperangan yang mempunyai tampalan’ kerana kami telah membalut kaki kami dengan dengan kain perca.

Abu Buraidah berkata: Abu Musa telah menyebut hadis ini dan kemudian telah mengengkarinya, seolah-olah dia tidak mahu amalannya memasyhurkan namanya. (Riwayat Muslim)

Seorang al akh mestilah menceraikan dirinya daripada dunia. Manusia manakah yang hidup di dalam dunia dengan mengaut kekayaannya mampu untuk menanggung dan bersabar di atas bebanan-bebanan jalan dakwah.

Daripada Aisyah telah berkata: Bala’ pertama yang berlaku kepada umat ini selepas kewafatan Nabi mereka ialah kenyang. Sesungguhnya sesuatu kaum apabila perutnya telah kenyang, badannya akan menjadi gemuk lalu hatinya akan lemah dan syahwatnya akan bergelora.”

Daripada Hasan telah berkata: Umar telah masuk menemui anaknya Abdullah dan di sisinya ada daging, lalu dia bertanya: ” Daging apakah ini?” Anaknya menjawab: “Aku inginkannya.” Dia berkata: “Apakah setiap kali engkau inginkan sesuatu makanan engkau akan memakannya. Sudah cukup seseorang itu telah bersifat berlebihan apabila dia memakan segala yang diingininya.” 11

Daripada Ibnu Umar telah berkata: Umar bin Al Khattab telah mengetahui bahawa Yazid bin Abu Sufyan memakan berbagai jenis makanan. Umar telah berkata keapda budak suruhan Yazid yang di panggil Yarfa’:” Apabila engkau mengetahui bahawa dia telah mengadap makanannya maka beritahulah pada aku.” Apabila Yazid telah mengadap makanannya dia telah memberitahu Umar, dan Umar telah mendatanginya. Dia memberi salam dan meminta izin lalu diizinkan. Dia telah dihidangkan dengan daging dan Umar telah makan bersamanya. Kemudian tukang panggang daging telah membawa daging lalu Yazid menadah tangannya dia hendak mengambilnya, lalu Umar menahan tangannya dan berkata: “Allah! Wahai Yazid bin Abu Sufyan, adakah engkau makan makanan demi makanan. Demi zat yang Umar adalah di tanganNya, sekiranya kamu mencanggahi cara hidup mereka (orang ramai ) nescaya engkau akan mencanggahi jalan mereka.”

 

Janji Adalah Syurga.

Di dalam sahih Bukhari dan Muslim dari hadis Barra’ telah berkata: Rasulullah saw. telah dihadiahkan dengan sehelai pakaian sutera lalu mereka merasa kagum dengan kelembutannya. Rasulullah saw. telah bersabda: “Adakah engkau kagum dengan pakaian ini?” Sapu tangan Saad bin Muaz di dalam syurga adalah lebih baik dari pakaian ini.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim)

Ibnu Qayim berkata: Sesungguhnya orang yang paling sempurna di akhirat kelak ialah orang yang paling menjaga dirinya di dunia ini dari perkara yang haram. Sebagaimana sesiapa yang meminum arak di dunia, dia tidak akan dapat meminumnya di akhirat kelak. Sesiapa yang makan di dalam pinggan emas di dunia, dia tidak akan dapat makan di dalamnya di akhirat. Sebagaimana Rasulullah saw. telah bersabda; “Sesungguhnya ia adalah untuk orang kafir di dunia dan bagi kamu adalah di akhirat.”

Sesiapa yang telah cukup kebaikan dan kelazatannya di dunia ini, ia akan diharamkan bagi mereka di akhirat. Sebagaimana Allah telah memperingatkan orang yang mengaut segala kemewahan dan kenikmatan yang ada di dunia ini dan berseronok dengannya . Oleh itu para sahabat dan orang-orang yang selepas mereka adalah amat takut kepada perkara itu. 12

Tabrani telah meriwayatkan dari Abi Barzah telah berkata: Kami sedang di dalam peperangan dan kami telah berjumpa dengan sekumpulan orang muysrikin lalu kami usir mereka dari tempat pembakar roti dan kami duduk di situ dengan memakan rotinya. Sedangkan kami telah mendengar ketika zaman jahiliah dahulu bahawa sesiapa yang memakan roti dia akan menjadi gemuk. Apabila selesai sahaja kami makan, salah seorang dari kami ada yang saling menunjukkan salah satu bahagian tubuhnya, sambil berkata, “Apakah aku gemuk?” 13

 




Notes:

  1. Syed Qutb, FI Zilal Al Quran, 3/1695

  2. Khalid Muhammad Khalid, Rijar Haula Ar Rasul, ms. 45-46

  3. Hayatu Ash Shahabah, 2/151, hadith ditakhrij oleh Ahmad dan Thabrani

  4. Dari kitab Hayatu Ash Shahabah, 2/149, Al Haitsami berkata, ianya diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan at Tabrani, dan rawinya siqqah.

  5. Abdullah Al Mubarak. Al Jihad, ms. 10

  6. Mamarratu At Tarbiah Islamiyah, ms. 81-82

  7. Ibid

  8. Terdapat riwayat dengan memaki lafaz “Tama’dadu” dan “ikhsyausyanu”, Al Haitsami berkata ianya diriwayatkan oleh At Tabrani dalam buku “Al Kabir wa Al-Ausath” dan dalam sanadnya terdapat Abdullah bin Said bin Abi Said Al Magribi dia adalah rawi yang lemah.

  9. Riwayat Ibnu Abi Dunya dalam kitab Al-Juu’ dengan sanad yang baik begitu juga dalam kitab Targhib

  10. Riwayat At Tabrani daripada hadis Khabbab, Ibnu Majah dalam bab Zuhud dan Imam Ahmad.

  11. Abul Faroj bin al Jauzi, Sejarah Umar al Khattab, ms. 202

  12. Ibnu Qayyim al Jauziah, Hady Al Arwah ila Biladi Al Afrah, ms. 226

  13. Hadith riwayat Thabrani, riwayatnya adalah sohih, demikian dikatakan dalam kitab At Targhib

Leave a Comment