Rakaez Dakwah – Hakikat Bai’ah

Rakaezud Dakwah (Konsep Dasar Gerakan Dakwah)

Oleh – Dr. Majdi Al-Hilali

 

HAKIKAT BAI’AH

 

Allah berfirman:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan diri dan harta mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, maka di antara mereka ada yang terbunuh dan dibunuh. (Balasan syurga yang demikian adalah) sebagai janji benar yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Kitabnya Taurat dan Injil serta Al Quran, dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualannya itu, dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (At Taubah: 111)

Ustaz Syed Qutub berkata: Hakikat baiah ini (sebagaimana yang di sebutkan oleh Allah sebagai kemuliaan dan kelebihan daripadaNya ) ialah Allah swt telah memilih untuk diriNya jiwa raga orang yang beriman…dan Allah tidak memberi peluang sedikitpun kepada mereka mengenainya..mereka tidak berpeluang meninggalkan sesuatupun tanpa digunakan ke jalan Allah…mereka tidak mempunyai pilihan sama ada untuk berjihad atau tidak..Sekali-kali tidak..ia hanya khusus untuk Allah yang menjadi sebagai pembeli.

Pembelinya boleh melakukan menurut apa yang dikehendakiNya dengan menepati apa yang telah digariskannya. Penjualnya pula tidak mempunyai pilihan kecuali terus berjalan di atas jalan yang telah digariskan. Tidak boleh lari dan tidak boleh memilih, tidak boleh membantah dan tidak boleh membangkang. Dia tidak boleh berkata apa-apa kecuali mentaati, bekerja dan menyahut menerima.

Nilai harga adalah syurga. Jalannya adalah jihad, membunuh dan dibunuh. Penyudahnya adalah kemenangan ataupun syahid. Sesiapa yang menjual diri dan harta di atas jalan ini, maka dia adalah seorang mukmin…orang-orang yang beriman adalah mereka yang dibeli oleh Allah lalu mereka menjual.

Di antara rahmat Allah, Dia telah memberikan nilai harga pada jual beli ini. Kalaupun Allah swt tidak meletakkan nilai yang tinggi ini , Dia tetap merupakan pencipta kepada jiwa manusia dan harta yang dijual itu. Ia merupakan jual beli yang menakutkan akan tetapi ia tidak akan luput dari tanggungjawab seseorang mukmin yang berupaya kecuali dengan keluputan imannya.

Ayat-ayat Allah ini telah mengetuk pintu hati generasi yang awal dahulu di zaman Rasulullah saw. lalu secara langsung ia berpindah dari hati-hati yang beriman kepada realiti kehidupan mereka dan tidak setakat perasaan yang dirasai di dalam hati mereka . Mereka menerima ayat-ayat al Quran untuk terus melaksanakannya, untuk mengubahnya kepada gerak-geri yang dapat disaksikan…. bukan kepada gambaran yang hanya diamat-amati di dalam pemikiran.

Begitulah yang telah dilakukan oleh Abdullah bin Ruwahah di dalam perjanjian Aqabah Kedua. Muhammad bin Kaab Al Kurzi dan lain-lainnya berkata: Abdullah bin Ruwahah telah berkata kepada Rasulullah saw.  ( iaitu di malam perjanjian Aqabah): “Syaratkan untuk Tuhanmu dan untuk dirimu menurut apa yang engkau kehendaki.” Baginda bersabda: “Aku syaratkan untuk Tuhan ku supaya engkau menyembahNya dan tidak menyengutukanNya dengan sesuatu, dan aku syaratkan bagi diriku pula supaya engkau mempertahankan aku sebagaimana engkau mempertahankan diri dan harta engkau.” Dia menyambung dengan berkata: “Apakah yang kami perolehi apabila kami lakukan sedemikian?” Baginda menjawab: “Surga..” Mereka berkata: “Jualan telah beroleh keuntungan, kami tidak akan membatalkannya  dan tidak akan minta dibatalkannya.”

Di dalam peperangan Badar Rasulullah saw. telah bersabda: “Demi Zat yang Muhammad ada di tanganNya tidak ada seorang pun yang berperang pada hari ini lalu dia terbunuh dengan sabar, mengharapkan balasan Allah, maju kehadapan tanpa lari, melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.” Baginda bersabda untuk menggalakkan mereka berperang: “Majulah ke arah syurga yang luasnya seperti langit dan bumi.” Ketika itu Umair bin Humam berkata; “Bakh! Bakh!” Lalu Rasulullah saw. bertanya: “Apakah yang menyebabkan kamu berkata Bakh! Bakh!?”  Dia menjawab: “Demi Allah wahai Rasulullah saw. , aku berharap aku menjadi salah seorang daripada ahlinya.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari ahlinya.” Dia mengeluarkan beberapa biji tamar dari kantungnya hendak memakannya, kemudian dia berkata “Sekiranya aku masih hidup sehingga aku habis memakan tamar ini maka ia adalah satu kehidupan yang panjang. Lalu dia mencampakkan tamar yang masih ada di tangannya dan terus berperang sehingga terbunuh syahid. (Riwayat Muslim)

Daripada Anas berkata: Sesungguhnya bapa saudaraku Anas bin Nadhir tidak turut sama berperang bersama Rasulullah saw. di Badar. Ia merasakan satu kerugian yang besar, lalu dia berkata: “Aku tidak bersama di dalam peperangan yang pertama yang dihadiri  oleh Rasulullah saw. . Demi Allah sekiranya Allah memperlihatkan kepada aku peperangan bersama Rasulullah saw. selepas ini, maka Allah akan dapat melihat bagaimana aku bertindak.” Lalu dia diberitau tentang satu peperangan. Dia telah hadir bersama Rasulullah saw. di peperangan Uhud di tahun berikutnya  Saad telah menemuinya dan Anas berkata kepadanya: “Wahai Abu Amru aku telah mendapati bau syurga pada engkau.” Lalu dia berperang hingga terbunuh. Telah didapati pada tubuhnya lebih kurang tujuh puluh kesan tikaman, panahan dan tusukan. Emak saudaraku ar Rabi’ bin Nadhar berkata: “Aku tidak dapat mengenali saudaraku kecuali dengan jarinya.” Lalu diturunkan ayat:

Maksudnya: Di antara orang -orang yang beriman itu ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah mereka janjikan kepada Allah  (untuk berjuang membela Islam) maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid) dan di antaranya ada yang menunggu giliran, dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Al Ahzab: 23) 1

Daripada Akramah budak suruhan Ibnu Abbas telah berkata: Amru bin Jamuh adalah seorang tua dari kalangan kaum Ansar. Apabila Rasulullah saw. telah keluar ke Badar dia telah berkata kepada anak-anaknya: “Bawalah aku keluar berperang.” Mereka telah melarangnya. Mereka telah mengadu kepada Rasulullah saw. tentang keadaan ayah mereka lalu baginda mengizinkannya tidak keluar.

Apabila sampai hari peperangan Uhud dan orang ramai telah keluar untuk berperang, dia berkata kepada anak-anaknya: “Bawalah aku keluar berperang.” Mereka telah berkata: “Rasulullah saw. telah memberikan keringanan kepada engkau dan mengizinkan engkau tidak keluar berperang.” Dia berkata: “Tidak, kamu telah menghalang aku dari memperolehi syurga di Badar dan kamu hendak menghalang aku di Uhud pula.” Lalu diapun keluar.

Apabila dia bertemu dengan orang ramai dia telah berkata kepada Rasulullah saw. : “Adakah engkau melihat apabila aku berperang pada hari ini aku akan memperolehi syurga dengan kepincangan aku ini?” Baginda menjawab: ” Ya “. Dia berkata lagi: “Demi Zat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran aku akan menjejaki syurga dengan kepincangan aku ini denan izin Allah.

Dia berkata kepada hambanya yang bersamanya: “Kembalilah kepada keluarga engkau.” Hambanya menjawab: “Bolehkah aku memperolehi kebaikan bersama engkau pada hari ini?” Dia menjawab: “Silakan.” Hambanya telah maju berperang sehingga terbunuh dan dia pun telah maju sehingga terbunuh sebagai syuhada’. 2

Telah diriwayatkan daripada Said bin Hilal bahawa Sulaiman bin Aban  menceritakan kepadanya bahawa ketika Rasulullah saw. keluar ke Badar, Saad bin Khaisamah dan ayahnya hendak keluar bersama. Mereka telah memberitahu perkara itu kepada Rasulullah saw. lalu baginda mengarahkan supaya salah seorang dari mereka sahaja yang keluar.

Kedua-duanya telah menjalankan undian lalu Saad telah terpilih. Bapanya berkata: “Berilah aku peluang wahai anakku.” Dia berkata: Wahai bapaku, sesungguhnya ia adalah syurga, kalau ianya perkara lain  aku akan memberikannya kepada engkau.”

Lalu keluarlah Saad bersama Rasulullah saw. dan berperang sehingga terbunuh. Kemudian Khaisamah pula telah terbunuh di dalam peprangan Uhud di tahun yang  berikutnya.

Ini adalah bebrapa contoh yang telah dilakukan oleh para sahabat Rasulullah saw. yang membayangkan kepada kita kecintaan mereka kepada syahid dan rindukan syurga. Mereka telah mengelokkan akad baiah mereka dengan Allah.

Maksudnya: Maka bergembiralah dengan pjual beli yang kamu lakukan itu dan itulah kejayaan yang besar. (At Taubah:111)

Mereka bergembira dengan keihkhlasan hati dan harta mereka kepada Allah dan mengambil syurga sebagai ganti dan harga sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah.

Apakah yang hilang?

Apakah yang hilang daripada seorang mukmin yang menyerahkan jiwa dan hartanya kepada Allah dan mempergantikannya dengan syurga? Demi Allah dia tidak kehilangan sesuatu pun. Setiap diri kita akan berakhir dengan kematian. Syurga adalah suatu yang diusahakan. Usaha yang tidak ada imbalan pada hakikatnya.

 

Mari Menuju Ke Jalan Syurga.

Mari wahai tentara-tentera Ar Rahman marilah bersama kami bersegera berbaiah dengan Allah, semoga kita memperolehi syurga. Umar bin Abdul Aziz telah berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai satu keinginan. Sekiranya aku inginkan kepada satu darjat aku akan memperolehinya. Tetapi aku menuju kepada satu darjat  yang lebih tinggi daripadanya sehingga sampai kepada satu darjat yang tidak ada darjat yang lebih tinggi daripadanya. Sesungguhnya hari ini aku telah inginkan kepada syurga.”

Sesiapa yang mengingati syurga dan nikmatnya , maka dunia akan menjadi mudah kepadanya.

Dari Umar bahawa Rasulullah saw. telah bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya kedudukan ahli syurga yang paling  rendah ialah sama seperti orang  yang memandang kepada taman-taman, isteri-isteri, nikmat, khadam, katil-katilnya selama seribu tahun. (Riwayat At Tirmizi)

Ini keadaan ahli syurga yang paling rendah.

Tiadakah yang bercita-cita untuk kesyurga.

Telah diriwayatkan bahawa Usamah bin Zaid berkata: Rasulullah  saw  telah bersabda:

Maksudnya: “Apakah tidak ada yang bercita-cita untuk memasuki syurga..Sesungguhnya syurga mempunyai perkara yang tidak pernah terlintas dihati tentangnya..Syurga itu demi Pemilik ka’bah adalah cahaya yang bergemerlapan, angin yang bertiupan, istana yang tersergam, sungai yang mengalir, buah-buahan yang ranum, isteri yang baik dan cantik, tempat tinggal yang abadi dan sejahtera, buah-buahan, sayur-sayuran hijau, perhiasan dan kenikmatan dengan pakaian yang baharu dan tinggi nilainya. “

Maka para sahabatpun menyahut: “Ya wahai Rasulullah  kami bercita-cita untuk memasukinya” maka sabda Rasulullah saw. Katakanlah `In sya Allah’ maka merekapun berkata `In sya Allah’. 3

Alangkah menakjubkannya syurga itu, maka, bagaimana kita dapat terlelap kalau benar mengharapkannya, dan bagaimana mahar pinangannya tidak kita setujuinya! Apa ertinya kenikmatan hidup di dunia ini setelah kita mendengar cerita tentang syurga itu? Bagaimana dapat ditahan orang-orang yang rindu pada kepastian tanpa memeluk bidadari-bidadari syurga? Bagaimana hidup tanpanya bagi mata perindu? Bagaimana dapat bersabar darinya bagi jiwa-jiwa yang yakin? Bagaimana hati sebahagian besar manusia penghuni bumi dapat berpaling darinya? Dan dengan apakah jiwa orang-orang yang menentang dapat menggantikan keindahana syurgawi?

Al Imam Muslim telah meriwayatkan di dalam kitabnya daripada Suhaib berkata: Rasulullah saw telah membaca firman Allah swt:

Maksudnya:  “Bagi orang-orang yang berbuat adalah balasannya baik (syurga) dan tambahan-tambahannya” (Yunus: 26)

Lalu baginda bersabda:

Maksudnya: “Apabila ahli syurga memasuki syurga dan ahli neraka memasuki neraka maka berserulah penyeru: ” Wahai ahli syurga, sesungguhnya untuk kamu ada janji daripada Allah yang ingin ditunaikan kepada kamu”. Maka merekapun berkata:” apakah dia ?, bukankah telah di beratkan timbangan kebaikan kami, telah diputihkan wajah kami, dimasukkan kami kedalam syurga dan di jauhkan kami daripada neraka? Lalu tersingkaplah pendinding, maka merekapun melihat kepada Allah dan tidaklah dikurniakan sesuatu yang lebih disukai oleh mereka lebih daripada melihat kepada Allah..dan itulah tambah- tambahannya.”

 

Marilah menuju kesyurga Adn,sesungguhnya itulah rumahmu yang pertama, disanalah tempat tinggal…

Tetapi kita ditawan musuh, tidakkah kamu mahu kita pulang dengan selamat kenegeri kita.




Notes:

  1. Daripada kitab Al Jihad, oleh Ibnu Mubarak, ms. 8,9.

  2. Ibid

  3. Hady A Arwah, ms. 7

Leave a Comment