Jihad Ekonomi

Oleh: Dr Husain Shahatah

Kandungan

Siri 1: Kefarduan Syarak dan Tuntutan Akidah

Siri 2: Realiti Jihad Ekonomi di Kalangan Ummat Islam

Siri 3: Beberapa Kekeliruan Sekitar Jihad Ekonomi

Siri 4: Jihad Ekonomi: Apakah Yang Perlu Dilakukan?

 

Siri 1: Kefarduan Syarak dan Tuntutan Akidah

 

Setelah kita dihalang daripada melakukan jihad dengan mengorbankan nyawa, maka kita berkewajipan untuk melancarkan jihad ekonomi. Antara senjata yang boleh digunakan ialah dengan mengorbankan harta kita untuk membiayai pembelian senjata. Begitu juga untuk membiayai perbelanjaan perang jihad dan juga untuk para pejuang. Antara senjata yang boleh digunakan dalam jihad ekonomi juga ialah dengan melakukan boikot ekonomi. Matlamat utama daripada pemboikotan ini ialah untuk melemahkan ekonomi pihak musuh di samping menguatkan ekonomi ummat Arab dan Islam agar tidak lagi bergantung kepada pihak musuh. Dalam masa yang sama, pemboikotan ini boleh menjejaskan kepentingan ekonomi pihak musuh dan memusnahkannya dengan segala cara yang boleh dilakukan. Di samping itu, ia juga boleh menjadi alat yang mendorong pihak lain untuk tidak bekerjasama lagi dengan pihak musuh.

 

Hukum Jihad Ekonomi

Secara umumnya, hukum jihad ekonomi sama dengan hukum jihad itu sendiri. Ia adalah kefarduan yang ditentukan oleh syarak dan merupakan keperluan yang dituntut oleh akidah. Dalam banyak tempat dalam al-Quran, jihad ekonomi atau jihad dengan harta disebut bersekali dengan jihad nyawa. Antaranya ialah firman Allah swt ketika menggambarkan sifat-sifat orang yang beriman yang bermaksud (al-Hujurat: 15): “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”

Allah swt berfirman lagi (al-Saff: 10-13) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.”

Rasulullah saw juga menegaskan tentang jihad dengan harta ini melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang mempersiapkan seorang pejuang pada jalan Allah, maka sesungguhnya (seolah-olah) dia sendiri yang keluar berjuang. Sesiapa yang menggantikan pejuang ketika ketiadaannya (pejuang) untuk menjaga keluarganya (keluarga pejuang), maka (seolah-olah) dia sendiri yang keluar berjuang.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah saw juga pernah memberikan amaran dengan azab seksa yang pedih terhadap golongan yang keberatan dan ragu-ragu untuk berkorban harta demi membantu agama Allah. Baginda saw bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak pernah berperang, dan tidak pernah mempersiapkan seorang pejuang, atau tidak pernah menggantikan pejuang untuk menguruskan keperluan keluarganya, Allah akan menimpakan musibah kepadanya sebelum hari kiamat.” (Muttafaq ‘alaih)

Jika orang-orang kafir, musyrik, salibi dan Yahudi sanggup membelanjakan harta mereka untuk memusuhi Islam, maka orang Islam juga wajib untuk membelanjakan harta mereka pada jalan Allah untuk menjaga keselamatan ummat Islam. Hal ini telah disebutkan secara tidak langsung oleh Allah swt yang bermaksud (al-Anfal: 36): “Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) daripada jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya, kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.”

Dalam ayat yang lain, Allah swt juga menggesa ummat Islam agar membelanjakan harta pada jalan Allah. Firman Allah yang bermaksud (al-Baqarah: 261): “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

 

Ciri-ciri Kejayaan Jihad Ekonomi

Jihad ekonomi bukanlah sebuah slogan yang hanya enak didengar sahaja. Tidak juga pidato semangat yang tidak mendatangkan apa-apa kesan. Tidak juga permainan terhadap istilah jihad itu sendiri. Tetapi ia adalah jihad secara praktikal yang wajib dilaksanakan agar ia dapat direalisasikan secara berkesan.

Antara ciri kejayaannya ialah:

a)      Menyedari dengan penuh kesedaran bahawa berjihad dalam bentuk ekonomi ini adalah cubaan dan ujian terhadap jiwa manusia yang memang cintakan harta. Adakah dia sanggup mengorbankan harta ini demi agama Allah yang sepatutnya menjadi barangan paling berharga di sisi seorang muslim? Adakah dia sanggup mengorbankan harta yang disayanginya demi Allah yang juga dikasihinya? Sebenarnya ia adalah ujian terhadap jiwa manusia. Besok nanti, dia akan ditanya oleh Allah, apakah yang telah engkau berikan jika engkau tidak pernah berperang dan tidak pernah mempersiapkan seorang pejuang?

b)      Kesedaran penuh bahawa jihad ini merupakan pertolongan dan bantuan yang diberikan kepada saudara-saudara kita para pejuang pada jalan Allah yang sanggup mengorbankan nyawa mereka sendiri demi menegakkan agama Allah. Ia adalah kefarduan syarak dan kewajipan akidah serta negara. Jika orang Israel, Amerika dan mulhid (atheis) saling membantu sesama mereka, maka sebaliknya kita juga berkewajipan berbuat demikian. Dalam hal ini Allah swt berfirman yang bermaksud (al-Anfal: 73): “Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” Dalam ayat yang lain, Allah meminta orang-orang yang beriman agar saling membantu antara satu sama lain. FirmanNya yang bermaksud (al-Anfal: 72): “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain.”

c)      Berkeyakinan bahawa jihad ekonomi merupakan peringkat keimanan yang paling rendah bagi sesiapa yang tidak mampu berjihad dengan nyawanya. Ketika para pemimpin bangsa Arab dan ummat Islam berada dalam kelemahan dan dalam keadaan para pemuda, orang tua dan wanita tidak dibenarkan pergi ke Palestin untuk berjihad bersama saudara-saudara mereka di sana, maka apa yang boleh dilakukan hanyalah peringkat keimanan yang paling lemah iaitu berjihad dengan harta dan melakukan pemboikotan ekonomi serta menjejaskan kepentingan ekonomi pihak musuh. Musuh yang paling utama dalam hal ini ialah Israel dan Amerika serta pihak yang seumpama mereka. Di samping itu, ia juga adalah peluang keemasan untuk memperolehi pahala para pejuang pada jalan Allah, meskipun dia hanya duduk di rumahnya.

d)      Kita hendaklah percaya bahawa saudara kita para pejuang di Palestin dan di tempat-tempat lain juga sebenarnya mengorbankan dengan segala apa yang mereka miliki demi memelihara akidah mereka. Pertarungan yang berlaku antara kita dengan Yahudi sebenarnya adalah pertarungan berbentuk akidah. Saudara-saudara kita di Palestin membunuh dan dibunuh kerana mahu membebaskan bumi Islam dan menyucikan Masjid al-Aqsa bukan kerana nasionalisme atau untuk memperolehi kebanggaan dan menunjuk-nunjuk. Jika kita tidak memberikan pertolongan yang termampu kita lakukan, sebenarnya kita telah mengkhianati Allah dan RasulNya.

e)      Jihad ekonomi dianggap sebagai salah satu kewajipan agama dan negara. Jika sesuatu kewajipan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna melainkan dengan dilaksanakan suatu perkara, maka perkara itu juga turut menjadi wajib dilakukan. Dalam hal ini, Dr Yusuf al-Qaradawi berkata: “Antara perkara wajib menurut syarak, orang-orang Islam hendaklah sentiasa memboikot Israel dan mana-mana pihak yang memberikan bantuan kewangan dan senjata kepada Israel , terutamanya Amerika. Kerana setiap dirham atau dinar yang sampai kepada mereka akan bertukar akhirnya menjadi peluru yang dihalakan kepada saudara-saudara kita di Palestin. Kita hendaklah mengangkat slogan yang berbunyi: “Setiap sen yang digunakan bagi membeli barangan yang diperbuat di Israel atau Amerika akan bertukar menjadi peluru yang dihalakan kepada tubuh kanak-kanak Islam.”

f)        Kita juga hendaklah percaya bahawa pembebasan bumi Palestin bererti membebaskan diri dan tanah air kita sendiri. Sementara pembebasan Masjid al-Aqsa merupakan pembebasan tanah suci kita sendiri. Kita juga hendaklah percaya bahawa kelemahan, kecuaian, putus asa dan menyerah kalah adalah pengkhianatan terbesar. Seorang muslim tidak sepatutnya takut melainkan kepada Allah swt sahaja. Ini merupakan salah satu sifat jiwa yang beriman yang disifatkan oleh Allah melalui firmanNya (Ali ‘Imran: 173-174) yang bermaksud: “Mereka juga ialah orang yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”, maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).” Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia daripada Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. (Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.”

g)      Kita hendaklah beriman dan percaya bahawa kemenangan terhadap pihak musuh bukanlah dengan sebab kita mempunyai peralatan dan bilangan yang banyak sahaja, bahkan ia boleh berlaku dengan nilai-nilai keimanan yang dimiliki. Allah swt berfirman (al-Baqarah: 249): “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.”

Inilah beberapa petanda yang menunjukkan kewajipan mengaktifkan jihad ekonomi serta beberapa asas yang boleh menjayakannya. Jihad ini bertitik tolak daripada kewajipan agama dengan menganggapnya sebagai salah satu daripada asas jihad dengan nyawa yang difardukan oleh Allah swt. Islam tanpa jihad samalah seperti pokok tanpa buah, juga umpama jasad tanpa ruh.

 

Siri 2: Realiti Jihad Ekonomi di Kalangan Ummat Islam

 

Mampu, Tetapi Tidak Membantu

Ummat Arab dan Islam memiliki kekuatan ekonomi yang besar. Antaranya minyak, harta, pasaran dan sumber manusia. Tetapi malangnya kekuatan ekonomi ini dipergunakan untuk kepentingan Israel dan Amerika, iaitu bagi menindas saudara-saudara kita di Palestin dan Afghanistan.

Antara bukti yang menunjukkan demikian ialah:

a)        Negara-negara Arab dan Islam membekalkan minyak kepada Israel bagi menggerakkan kapalterbang, kereta kebal dan kereta perisai perang lain bagi menentang saudara-saudara kita di Palestin. Minyak yang diperolehi oleh Israel daripada bangsa Arab memang digunakan secara nyata untuk memenuhkan kelengkapan mereka sebagai pihak musuh, sedangkan sepatutnya kekuatan itu digunakan untuk menghalang kezalimannya.

b)        Negara-negara Arab dan Islam juga membekalkan minyak kepada Amerika yang digunakan bagi membuat senjata yang digunakan untuk membunuh saudara-saudara seIslam kita di Palestin dan Afghanistan yang tidak mempunyai sebarang senjata… Bukankah ini yang sememangnya berlaku? Apa yang lebih mendukacitakan kita ialah negara-negara tersebut enggan untuk membuat kenyataan walaupun secara tidak langsung untuk menggunakan senjata tersebut terhadap Amerika agar ia berhenti daripada memberikan bantuan kepada Israel.

c)        Kebanyakan wang dan harta kekayaan negara-negara Arab dan Islam yang kaya raya dilaburkan di dalam bank-bank Amerika, England dan Eropah bagi memperkukuhkan ekonomi mereka, sedangkan mereka adalah sekutu rapat bagi Israel. Apa yang lebih menyedihkan kita ialah negara-negara Islam yang kaya itu amat bakhil untuk menggunakan kekayaan mereka bagi memberikan bantuan kepada negara Arab dan Islam lain yang miskin. Nampaknya kekayaan orang-orang Arab dan Islam hanya untuk musuh-musuh orang Arab dan Islam! Bukankah ini suatu kenyataan yang tidak boleh disangkal lagi? Belumkah tiba masanya kekayaan orang-orang Arab dan Islam digunakan bagi membantu para mujahidin yang berjuang pada jalan Allah di seluruh pelusuk dunia?

d)        Seluruh pasaran negara-negara Arab dan Islam terbuka luas untuk dimasuki oleh barangan buatan Israel dan Amerika. Dalam masa yang sama, kita dapati imbangan perdagangan yang berlaku antara sesama negara Islam tidak melebihi 7% sahaja, selebihnya perdagangan berlangsung dengan negara asing. Ini bermakna, kekayaan bangsa Arab dan ummat Islam digunakan bagi membeli barangan yang kebanyakannya daripada negara-negara yang memusuhi Islam dan ummatnya.

e)        Majoriti negara Arab dan Islam mengutamakan untuk melakukan dagangan dengan para pakar dan penasihat asing yang kebanyakan mereka datang dari Amerika, meskipun sudah ada alternatif di negara Arab dan Islam. Inilah yang dikenali sebagai penyakit ‘Uncle Sam’. Bahkan kadang-kadang kita dapati Liga Negara-negara Islam lebih mengutamakan guru mereka yang berbangsa Amerika daripada guru mereka yang berbangsa Arab dan Islam!! Meskipun guru yang berbangsa asing itu terpaksa diberikan gaji yang berlipat kali ganda jauh lebih tinggi daripada gaji yang diberikan kepada guru yang berbangsa Arab.

f)          Sesetengah golongan bodoh daripada kalangan ummat Arab dan Islam lebih suka untuk membelanjakan harta mereka dalam perkara sia-sia dan maksiat. Tetapi apabila diminta daripada mereka agar memberi sedikit sumbangan pada jalan Allah, mereka enggan dan menolak!! Pernah berlaku, seorang berbangsa Arab mewasiatkan agar sebahagian besar daripada hartanya diberikan kepada anjing-anjing yang berada di Amerika!

Inilah realiti jihad ekonomi di kebanyakan negara Arab dan Islam. Kekayaan mereka telah menjadi umpama hidangan enak yang direbuti oleh negara-negara lain yang membenarkan sabda Rasulullah saw yang bersabda maksudnya: “Hampir-hampir seluruh bangsa menerkam kepada kamu sebagaimana orang-orang yang mahu makan menerkam kepada hidangan mereka.” Para sahabat bertanya: “Adakah kerana bilangan kami pada waktu itu sedikit, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Tidak. Bahkan kamu pada waktu itu ramai, tetapi kamu adalah buih seperti buih bagi air banjir. Allah akan membuang perasaan takut daripada hati para musuh kamu dan Dia akan mencampakkan al-wahn ke dalam hati kamu.” Para sahabat bertanya lagi: “Apakah al-wahn itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Cintakan dunia dan bencikan kematian.” (Muttafaq ‘alaih)

Ramalan baginda saw sememangnya telah berlaku dalam realiti bangsa Arab dan ummat Islam kini. Ketika Israel membunuh orang Palestin, meruntuhkan rumah dan merampas tanah mereka, kita dapati sesetengah orang Arab dan Islam lain yang hidup dalam kemewahan, pembaziran, hiburan dan bersuka ria. Mereka menghabiskan masa mereka dalam istana yang tersergam dan dilengkapi dengan pendingin hawa yang hebat. Mereka telah ditimpa penyakit hati dengan sebab kerosakan dan kemaksiatan yang mereka lakukan. Mereka akan dihitung oleh Allah dengan perhitungan yang dahsyat bahkan akan mengazab mereka dengan azab yang pedih.

 

Siapa Yang Melakukan Jihad Ekonomi Sekarang?

Ia dilakukan oleh golongan fakir dan miskin daripada kalangan mereka yang dihiasi hati mereka dengan keimanan oleh Allah swt. Allah mengurniakan kepada mereka kecintaan untuk berjihad demi mencapai kemenangan atau kesyahidan. Jelas di hadapan kita pada hari ini, bahawa bangsa-bangsa Arab dan ummat Islam yang fakir dan miskin serta tertindas itulah yang bangkit melakukan jihad ekonomi. Kita dapati kebanyakan sumbangan derma yang dihantar kepada saudara-saudara kita di Palestin, Afghanistan dan Checen diperolehi daripada golongan fakir dan miskin. Sumbangan derma ini diuruskan oleh beberapa jawatankuasa, institusi dan badan kebajikan bukan kerajaan di kebanyakan negara, termasuk di negara-negara bukan Islam.

Golongan miskin ini berkorban dengan makanan anak-anak mereka demi menghulurkan bantuan makanan buat saudara-saudara mereka di Palestin. Bahkan ada kaum muslimah yang kesemua barangan perhiasan dan hartanya. Ada juga pemuda Islam yang mendermakan perbelanjaannya yang amat diperlukan. Kanak-kanak juga tidak ketinggalan berderma dengan wang simpanan mereka. Mereka didorong berbuat demikian oleh kekuatan iman dan keinginan untuk berlumba-lumba memperolehi kelebihan ganjaran pahala jihad. Mereka patuh kepada firman Allah (Ali ‘Imran: 133) yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” Mereka juga patuh kepada sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang mempersiapkan seorang pejuang pada jalan Allah, (seolah-olah) dia sendiri yang keluar berjuang.” (Muttafaq ‘alaih)

 

Siri 3: Beberapa Kekeliruan Sekitar Jihad Ekonomi

 

Senapang Buatan Syarikat Amerika

Terdapat satu golongan mahu melemahkan semangat para pejuang yang menggunakan senjata pemboikotan ekonomi dengan cuba meletakkan pelbagai halangan dan membangkitkan kekeliruan. Mereka mempersoalkan bagaimana pemboikotan ekonomi boleh dijadikan sebagai salah satu cara bagi mengendalikan pertarungan dengan musuh Zionis di samping manhaj pentarbiahan dalam masa yang sama.

Antara kekeliruan yang ditimbulkan ialah:

–         Negara-negara Arab akan mengalami kerugian yang lebih besar.

–         Pemboikotan ini akan menyebabkan peratus pengangguran bertambah tinggi.

–         Pemboikotan adalah senjata yang tidak berkesan.

–         Pemboikotan kurang berkesan bagi menentang kerajaan.

–         Pemboitotan tidak akan berkesan terhadap barangan keperluan.

–         Pemboikotan bertentangan dengan proses globalisasi.

–         Pemboikotan adalah tindakan beremosi yang tidak praktikal.

 

a) Negara-Negara Arab Akan Mengalami Kerugian Yang Lebih Besar

Golongan yang lemah itu berpendapat bahawa senjata pemboikotan ekonomi akan menyebabkan orang Arab dan ummat Islam mengalami kerugian besar, kerana segala industri akan terhenti, perdagangan akan menjunam, pemberian dan bantuan tidak dihulurkan, hutang akan bertambah dan pelbagai lagi dakwaan lain yang dikemukakan.

Dalam sejarah, sebenarnya dakwaan seumpama itu pernah dikemukakan oleh sesetengah pedagang Islam ketika Allah swt memerintahkan RasulNya agar melarang orang-orang musyrik daripada menghampiri Masjidil Haram. Allah swt berfirman (al-Taubah: 28) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini.”

 

Dalam tafsiran ayat ini disebutkan bahawa Allah swt memerintahkan para hambaNya yang beriman yang suci daripada sudut agama dan fizikal agar menghalang orang-orang kafir musyrik yang dihukumkan najis daripada sudut agama daripada memasuki dan menghampiri Masjidil Haram selepas turun ayat tersebut. Setelah itu, Rasulullah saw mengutuskan Ali kepada Abu Bakar agar membuat seruan kepada orang-orang musyrik dengan seruan: “Orang musyrik tidak lagi boleh mengerjakan haji selepas tahun ini dan baitullah tidak lagi boleh ditawaf oleh sesiapa dalam keadaan bertelanjang.” Allah telah menetapkan hukum tersebut dan menjadikannya sebagai ketetapan dan hukum syarak. Setelah itu ramai orang berkata: “Sesungguhnya engkau mahu memutuskan pasar-pasar kami dan memusnahkan perniagaan kami serta menghalang kami memperolehi keuntungan sebagaimana kami perolehi sebelum ini.” Lalu Allah swt menurunkan ayat (al-Taubah: 28) yang bermaksud: “…dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberikan kekayaan kepada kamu daripada limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

 

Setelah itu, Allah swt menggantikan harta kekayaan yang mereka perolehi itu dengan harta jizyah yang mereka ambil daripada ahli al-zimmah.

Dalam sejarah moden, terdapat beberapa contoh tentang keberkesanan senjata pemboikotan yang digunakan sebagai salah satu cara untuk membebaskan negara daripada penjajah. Sebagai contoh, ialah apa yang dilakukan oleh Ghandi, pemimpin India yang memboikot barangan buatan Inggeris dan menentang penjajah Inggeris yang zalim. Beliau berjaya merelisasikan matlamatnya dengan sambutan yang diberikan oleh bangsa India bersamanya.

Terdapat juga contoh lain bagaimana Jozeh Bufet yang berbangsa Perancis telah memusnahkan Restoran McDonald’s dan memimpin kebangkitan rakyat menentang kebanjiran Amerika. Begitu juga kita melihat bagaimana rakyat Mesir bangkit menentang gedung-gedung Sansburry sehingga ia terpaksa meninggalkan Mesir.

Beberapa contoh yang disebutkan terdahulu telah berjaya mencapai matlamatnya ketika menentang golongan pemusnah, antara matlamatnya ialah memerdekakan dan memelihara identiti negara sekalipun terpaksa menghadapi kerugian ekonomi dalam tempoh masa yang sementara.

Daripada sudut ekonomi, pemboikotan ini hendaklah dilihat sebagai peperangan terhadap pihak musuh. Setiap peperangan pasti terpaksa dibayar dengan pengorbanan. Sudah pasti akan terdapat kerugian daripada sudut ekonomi yang akan menimpa negara-negara Arab dan Islam dengan sebab pemboikotan yang dilakukan. Antaranya sebagai contoh ialah penurunan kadar pelaburan, penurunan keuntungan yang diperolehi melalui industri pelancongan dan terputusnya bantuan kewangan dari luar.

Tetapi sebaliknya, beberapa keuntungan ekonomi dan moral akan diperolehi. Antaranya yang terpenting ialah:

–          Kebebasan membuat keputusan, menguatkan semangat dan memelihara identiti bangsa Arab dan ummat Islam.

–          Keluar daripada ciri-ciri pak turut daripada sudut ekonomi daripada penguasaan Amerika dan Zionis.

–          Dapat berdikari, mengembangkan kebolehan dan mempergunakan kebolehan dan kemampuan sebaik mungkin.

–          Cergas melakukan inovatif dan kreativiti, kerana keperluan akan melahirkan pelbagai kepandaian.

–          Hidup bersederhana, terdidik untuk hidup dalam keadaan susah dan bersemangat jihad demi memperolehi sesuatu yang mulia.

–          Membuktikan kemampuan kita untuk berkorban demi membebaskan tanah suci kita.

–          Memperlihatkan kekuatan, keberanian, kemampuan bertahan dan tidak menyerah kalah kepada pihak musuh.

–          Peluang untuk memobilasi kerjasama dan integrasi ekonomi antara negara-negara Arab dan Islam.

–          Menghilangkan kemudaratan yang dihadapi oleh syarikat-syarikat tempatan yang terpaksa bersaing dalam keadaan tidak seimbang dengan syarikat-syarikat Amerika, Yahudi dan pelbagai bangsa lain yang menyokong musuh Zionis.

Kerugian ekonomi yang dialami oleh negara-negara Arab dan Islam akan dapat dikurangkan jika pemboikotan dilakukan dengan penuh perencanaan dan tersusun. Program-program yang subjektif dalam rangka sekumpulan polisi strategi yang dilaksanakan pada peringkat rakyat, kerajaan dan bangsa Arab serta ummat Islam hendaklah diwujudkan. Kesemuanya hendaklah dilaksanakan mengikut keutamaan dengan kita memulakan pemboikotan terhadap barangan mewah terlebih dahulu. Kemudian diikuti dengan pemboikotan terhadap barangan keperluan dan begitulah seterusnya. Kesemuanya hendaklah dilaksanakan melalui program yang penuh tersusun bagi mewujudkan alternatif dalam negara sendiri. Jika alternatif daripada negara sendiri tidak diperolehi, ia hendaklah diperolehi daripada negara-negara Arab dan Islam yang lain. Jika tidak diperolehi juga, maka ia boleh diperolehi daripada negara asing yang tidak memusuhi Islam dan ummatnya.

 

b) Pemboikotan Akan Menyebabkan Peratus Pengangguran Bertambah Tinggi

Sekumpulan orang berpendapat pemboikotan akan menyebabkan bertambahnya pengangguran yang sudah dialami oleh beberapa negara Arab dan Islam seperti Mesir, Yaman, Syria dan Algeria. Mereka berkata: “Syarikat-syarikat dan kilang-kilang yang bekerjasama dengan Amerika dan Zionis antarabangsa telah memberikan pekerjaan kepada bilangan para pekerja yang ramai. Ia juga membayar cukai serta insuran berkelompok, sebagaimana ia juga turut menggunakan bahan mentah dalam negara… Jika pemboikotan dilakukan, ia akan menyebabkan kerugian yang besar menimpa para pekerja sendiri, para pengimpot, para peniaga dan khazanah negara.

Dakwaan ini mengandungi beberapa hakikat yang tidak dapat dinafikan. Tetapi ia juga mengandungi beberapa kesalahan dan kekeliruan yang mesti dijelaskan dan didustakan.

–         Tiada peperangan tanpa kerugian yang dialami. Tiada jihad tanpa sebarang pengorbanan. Kita mesti melakukan penyeimbangan antara keuntungan moral serta kebendaan yang diperolehi melalui pemboikotan yang dilakukan dan kerugian kebendaan. Matlamat mulia yang ingin dicapai melalui pemboikotan ialah membebaskan tanah air, membersihkan tempat suci kita, bermuhasabah dengan jiwa, bermuhasabah terhadap Allah dan membantu para mujahidin. Kesemua nilai matlamat ini mengatasi nilai kerugian kebendaan.

–         Di samping itu, jika permintaan terhadap barangan keluaran Amerika dan Zionis beralih kepada barangan keluaran tempatan, ini akan menyediakan peluang pekerjaan baru dengan sebab meningkatnya permintaan. Situasi ini, sudah pasti akan mengurangkan kebimbangan terhadap bahaya pengangguran yang meningkat. Sebenarnya inilah yang terjadi pada setiap pemboikotan yang berlaku di negara-negara lain. Antaranya ialah apa yang dilakukan oleh Sa’d Zaghlul, Tal’at Harb dan yang terkini Sansburry.

–         Peningkatan permintaan terhadap barangan keluaran negara dan keutamaan yang diberikan kepada bahan mentah serta keperluan pekerjaan negara akan menggandakan kadar peningkatan ekonomi. Sekaligus ini akan mengadakan peluang pekerjaan baru. Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa pemboikotan ekonomi akan meningkatkan kadar perkembangan ekonomi secara menyeluruh dalam negara serta di kalangan negara-negara Arab dan Islam.

–         Kerjasama, integrasi ekonomi dan penyelarasan antara negara-negara Arab dan Islam serta peningkatan kadar dagangan akan menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan baru bagi bangsa Arab dan ummat Islam. Sebelumnya, negara-negara Arab membuka peluang pekerjaan kepada penyembah lembu, matahari dan taghut, sekarang ia membuka peluang tersebut kepada para hamba Allah yang beriman. Di samping itu, pelaburan harta ummat Islam yang dilakukan di negara Islam akan menyumbang ke arah mengurangkan masalah pengangguran.

–         Terdapat satu hakikat yang tidak disedari oleh kebanyakan orang, iaitu syarikat-syarikat Amerika dan Zionis yang beroperasi di negara-negara Arab dan Islam akan menghantar sebahagian keuntungan yang diperolehinya iaitu tidak kurang 20% secara purata keluar negara. Ini menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap dolar dan dalam masa yang sama akan melemahkan matawang tempatan. Tetapi apabila pemboikotan dilakukan, insya Allah pengeluaran negara akan meningkat bahkan menyebabkan kelebihan yang akan dapat diekspot keluar negara dan ini akan menyebabkan matawang asing dibawa masuk ke dalam negara.

–         Terdapat satu kaedah syarak yang telah disebutkan sebelum ini, iaitu ‘kepentingan ummat hendaklah didahulukan daripada kepentingan individu’. Jika kepentingan bangsa Arab dan ummat Islam terdapat dalam tindakan pemboikotan, dan kepentingan ini bertentangan dengan kepentingan sesetengah individu, maka kepentingan ummat hendaklah diutamakan dan kepentingan individu yang terjejas itu hendaklah diberikan ganti rugi. Kadar pekerja yang akan terjejas dalam jangka masa pendek hasil daripada pemboikotan yang dilakukan tidak melebihi 3% daripada keseluruhan pekerja. Mereka juga boleh diberikan ganti rugi daripada tabung pemboikotan negara yang diwujudkan pada peringkat ummat Islam.

–         Jika bangsa Arab dan ummat Islam mengurangkan perbelanjaan mereka terhadap rokok dan air karbonat dengan kadar 25% sahaja, nescaya ratusan juta boleh dijimatkan dan boleh digunakan untuk mewujudkan peluang pekerjaan baru bagi para pemuda.

–         Kebanyakan pekerja di syarikat-syarikat Amerika dan pelbagai syarikat Zionis lain diambil bekerja berdasarkan kontrak tahunan sementara yang memungkinkan mereka kehilangan pekerjaan pada bila-bila masa sahaja. Perkara tersebut memang pernah berlaku dan tiada undang-undang yang melindungi mereka.

–         Kata orang keperluan akan mewujudkan cara (di situ ada kemahuan di situ ada jalan). Pemboikotan barangan dan perkhidmatan Amerika serta Zionis akan mendorong dan menggalakkan cerdik pandai Arab dan Islam untuk memikirkan sesuatu bagi mewujudkan alternatif kebangsaan dan berusaha bagi merelisasikan keselamatan negara, pembangunan ekonomi dan kemerdekaan daripada sudut politik sebenar. Contohnya, para pekerja dan peniaga negara akan melipat gandakan usaha mereka untuk mewujudkan pengeluaran alternatif yang akan menyumbang kepada pemenuhan keperluan yang berlaku akibat pemboikotan.

–         Pemboikotan juga akan menjimatkan harta negara dan boleh digunakan bagi menjalankan rancangan ekonomi baru yang menyumbang untuk menangani masalah pengangguran. Di samping itu, ia juga dapat menyumbang kepada kemajuan rancangan dan industri kecil yang dijalankan oleh para pemuda.

 

Beberapa Cadangan Bagi Mengurangkan Bahaya Pengangguran

1.         Syarikat-syarikat dan kilang-kilang yang menggunakan bahan mentah dan keperluan pekerjaan negara hendaklah tidak menggunakan tanda perdagangan Amerika atau Zionis dan menggantikannya dengan tanda perdagangan tempatan. Dengan itu, identiti negara dapat dipelihara dalam satu bentuk penyelarasan dan kesepaduan yang dituntut. Ketika itu, para pekerja tidak akan terjejas akibat pemboikotan yang dilakukan.

2.         Syarikat-syarikat dan kilang-kilang tempatan yang permintaan terhadap keluarannya akan meningkat hendaklah mengambil tenaga pekerja tambahan akibat pemboikotan keluaran dan perkhidmatan Amerika dan Zionis melalui satu perancangan yang tersusun dan pengarahan yang rapi. Jika kita melihat situasi sebelum kewujudan perusahaan Amerika dan Zionis dalam negara, kita dapati satu kadar tenaga kerja negara yang besar bekerja di sisi mereka, sebelum itu bekerja dengan syarikat-syarikat dan kilang-kilang tempatan.

3.         Hendaklah wujud satu penyelarasan dan integrasi antara Kementerian Buruh dengan persatuan-persatuan sekerja bagi memberikan keutamaan kepada para pekerja yang terjejas disebabkan pemboikotan ekonomi yang dijalankan. Beberapa pihak seperti persatuan peniaga, persatuan para pelabur, bilik-bilik dagangan dan umpamanya boleh memberikan sumbangan dalam hal ini.

4.         Mendirikan tabung bagi membantu usaha pemboikotan ekonomi yang dijalankan. Tabung ini bertujuan memberikan bantuan kepada individu, syarikat, badan, institusi, persatuan dan pihak-pihak lain yang terjejas. Sebahagian daripada hasilnya hendaklah diperuntukkan bagi memberikan bantuan sementara kepada para pekerja yang terjejas akibat pemboikotan yang dijalankan sehingga mereka memperoleh peluang pekerjaan lain. Beberapa projek kecil yang menggunakan sistem al-musyarakah (perkongsian) yang berakhir dengan pemilikan yang sesuai dengan sistem Islam hendaklah juga dijalankan dengan pembiayaan daripada tabung tersebut.

5.         Kesemua cadangan tersebut hendaklah dilaksanakan dalam rangka sebuah perancangan strategik. Pemusatan atau penekanan hendaklah diberikan terlebih dahulu kepada barangan dan perkhidmatan yang berligar sekitar memenuhi kemewahan dan perhiasan.

 

c) Pemboikotan: Senjata Yang Tidak Berkesan

Sesetengah orang berpendapat bahawa Amerika adalah sebuah negara yang kuat dan kaya. Ia juga membantu Israel tanpa batasan. Dalam masa yang sama, tekanan Yahudi terhadap pentadbiran Amerika lebih kuat berbanding tekanan negara-negara Arab dan Islam. Oleh itu, tidak ada faedah daripada pemboikotan yang dilakukan. Kita tidak boleh membiarkan Amerika hanya dipengaruhi oleh pihak musuh Zionis.

Sebagai contoh, Putera Walid bin Talal berkata kepada akhbar Kuwait ‘Arab Times’ yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada 30 April 2002 yang lalu, berkata: “Pemboikotan tidak berfaedah. Kerana antara kepentingan bangsa Arab ialah memelihara dan mengekalkan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat, kerana imbangan dagangan yang berlaku antara kita dengan negara tersebut adalah bagi kepentingan kita sendiri.” Hal yang sama diyakini oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah yang berkata: “Kita tidak boleh membiarkan Amerika dipengaruhi oleh Israel.”

Pandangan-pandangan tersebut adalah tertolak dengan berbagai-bagai alasan sebagaimana berikut:

–          Pemboikotan ekonomi telah memberikan kesannya yang positif terhadap regim Yahudi dan terhadap kepentingan Amerika di negara-negara Arab dan Islam. Ketika pentadbiran Amerika mengetahui bahawa kepentingan mereka terancam, terutamanya kem-kem tentera, syarikat-syarikat ekonomi dan pelaburan harta benda mereka, sudah pasti ia akan membuat kajian semula. Sementara itu para peniaga Amerika akan memberikan tekanan terhadap kerajaan mereka.

–          Beberapa maklumat dan kenyataan telah disiarkan berkenaan dengan kerugian ekonomi yang dialami oleh ekonomi Zionis. Antara kenyataan tersebut menganggarkan bahawa kerugian tersebut berjumlah kira-kira 100 bilion dolar sehingga tahun 2000. Ini tidak termasuk kerugian yang dialami akibat intifadah yang menyebabkan Israel kerugian tidak kurang daripada 100 juta dolar sebulan. Sektor pelancongan di Israel juga turut terjejas teruk sehingga menanggung kerugian kira-kira 640 juta dolar pada tahun 2001. Kerugian-kerugian ini dan lainnya menyebabkan Israel berusaha bertungkus lumus meletakkan beberapa syarat untuk perjanjian damai. Antara syarat tersebut ialah penerusan mewujudkan hubungan dan membatalkan pemboikotan ekonomi. Jika benar pemboikotan ekonomi tidak memberikan sebarang kesan terhadap Israel, nescaya Israel tidak akan berkeras agar ia dibatalkan. Inilah yang dilakukan oleh Amerika dengan negara-negara Arab. Amerika menekan negara-negara Arab agar membuat hubungan ekonomi dengan Zionis dan menubuhkan apa yang dinamakan sebagai Pasaran Timur Tengah.

–          Banyak kajian menunjukkan bahawa pasaran negara Arab dan Islam merupakan antara pasaran terpenting bagi keluaran dan perkhidmatan Amerika. Negara-negara ini juga dianggap sebagai antara sumber bahan mentah yang utama dan keperluan-keperluan pekerjaan bagi industri Amerika. Ini adalah kenyataan. Oleh itu, Amerika sentiasa berusaha untuk mempengaruhi kawasan tersebut. Antara faktor pendorong kepada sokongan tidak berbelah bahaginya kepada Israel ialah ia mestilah menjaga kepentingan ekonominya terutamanya di negara-negara Teluk. Berdasarkan kenyataan tersebut, pemboikotan yang dilakukan pasti akan memberikan kesan yang positif terhadap Amerika jika pemboikotan itu dilakukan dengan penuh teliti dan tersusun rapi.

–          Harta simpanan negara-negara Arab dan Islam dalam bank-bank Amerika, Eropah dan Yahudi berjumlah tidak kurang daripada 1000 bilion dolar. Ancaman untuk menarik balik kesemua atau sebahagiannya akan menyebabkan bank-bank tersebut terjejas teruk. Suatu kenyataan telah disiarkan dalam internet: “Kebanyakan bank di Amerika dimiliki oleh orang Yahudi, atau mereka mempunyai saham yang besar di dalamnya. Keuntungan sebenarnya tidak diperolehi oleh Amerika (yakni faedah daripada penyimpanan harta ummat Islam di bank-bank Amerika) sahaja, tetapi bahkan juga oleh orang-orang Yahudi secara langsung yang memberikan sokongan padu kepada Israel. Israel dapat berdiri hasil daripada wang yang diperolehi daripada komuniti Yahudi di Amerika dan tempat-tempat lain. Komuniti inilah yang mewakili lobi Zionis melalui harta dan media yang dimiliki mereka. Beberapa perangkaan menunjukkan bahawa jumlah harta ini mencapai angka 870 bilion dolar. Orang-orang Arab hanya memperolehi faedah sebanyak 1.55% daripadanya. Harta itu kemudiannya dipinjamkan kepada negara-negara Arab miskin dengan kadar faedah kadang-kadang mencecah 17%. Perbezaan tersebut iaitu sebanyak 15.45% masuk terus ke dalam poket orang-orang Zionis dan Amerika.

–          Penarikan balik harta-harta ini atau kadar 50% daripadanya sudah cukup untuk menyebabkan sistem perbankan Amerika mengalami kelumpuhan yang teruk. Bahkan mungkin beberapa bank di sana boleh diisytiharkan sebagai muflis akibatnya.

–          Jarudi, seorang pemikir Islam berpendapat bahawa ekonomi adalah noktah kelemahan Amerika Syarikat. Beliau berpendapat kita hendaklah membebaskan diri daripada kongkongan Amerika yang boleh dilakukan melalui tiga noktah asasi berikut:

  • Memboikot segala barangan dan perjanjian persenjataan dengan Amerika.
  • Mengelakkan daripada berlaku peperangan antara negara, kerana jika peperangan berlaku, ia dianggap sebagai salah satu cara menyelamatkan ekonomi Amerika.
  • Menuntut kerajaan agar menarik diri daripada pertubuhan-pertubuhan kewangan antarabangsa yang dikuasai oleh Amerika.

–          Pendapat Putera al-Walid bin Talal dan Putera Mahkota Raja Abdullah adalah juga tertolak daripada sudut bahawa Amerika tidak akan mengubah pendiriannya kecuali jika ia yakin bahawa kepentingannya di Timur Tengah terancam. Manakala slogan persahabatan dan hubungan lama yang telah teguh tertanam, maka ia hanya umpama buih yang boleh hilang begitu sahaja. Lagipun, sampai bilakah Amerika akan terus menguasai dunia? Semoga Allah memberikan rahmatNya kepada Raja Faisal yang telah mengisytiharkan dengan jelas melalui kata-katanya: “Beta bersedia untuk kembali ke khemah-khemah, memakan tamar dan meminum susu unta demi untuk membebaskan Masjid al-Aqsa.” Bagindalah yang melakukan inisiatif untuk menggunakan minyak sebagai senjata pada tahun 1973. Semoga Allah merahmati baginda.

Kesimpulan: Pemboikotan ekonomi pasti akan menyebabkan kerugian terhadap ekonomi Zionis dan ekonomi Amerika. Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan penuh perancangan dan tersusun agar hanya memberikan kerugian yang paling mininum kepada ekonomi negara-negara Arab dan ummat Islam di samping memberikan kerugian yang paling maksimum kepada pihak musuh. Pemboikotan itu juga hendaklah diprogramkan dan diselaraskan pada peringkat negara dan kerajaan sebagaimana yang akan saya diterangkan selepas ini.

 

d) Pemboikotan Kurang Berkesan Bagi Menentang Kerajaan

 

Beberapa kerajaan Arab dan Islam menentang pemboikotan secara umum dan pemboikotan ekonomi secara khusus kerana beberapa sebab, antaranya sebagai contoh: Kewujudan perjanjian dua hala, hubungan kepentingan bersama dan tekanan Amerika serta faktor-faktor lain yang dikemukakan. Bahkan kerajaan-kerajaan ini menentang dan menghalang individu, persatuan, badan dan pertubuhan bukan kerajaan yang menyeru kepada pemboikotan. Ini memperlihatkan pendirian yang bertentangan antara kerajaan dan rakyat. Sesetengah golongan pula berpendapat bahawa rakyat berkewajipan mentaati pemerintah agar tidak terdedah kepada hukuman dan tindakan.

Dakwaan ini memang terdapat di beberapa negara Arab dan Islam. Tetapi realiti yang amali ialah bahawa rakyat tidak mentaati perintah dan arahan kerajaan. Bahkan rakyat melaksanakan pemboikotan dengan segala kemampuan yang dimiliki sekalipun bertentangan dengan perintah kerajaan. Mereka menganggap segala hukuman dan mungkin tertimpa kepada mereka sebagai ujian dan dugaan daripada Allah swt kerana mereka beriman bahawa pemboikotan merupakan satu jihad yang wajib dilaksanakan dan hukumnya adalah fardu ain.

Beberapa orang ulama ummat Islam telah memfatwakan bahawa dalam keadaan permusuhan yang dilancarkan terhadap mana-mana negara Islam, ummat Islam berkewajipan untuk berjihad menentang musuh dengan kekuatan. Hukumnya adalah fardu ain terhadap penduduk negara tersebut dan juga terhadap seluruh ummat Islam lainnya. Dalam hal ini, sesetengah fuqahak berpendapat, rakyat boleh untuk tidak mentaati pemerintah kerana tiada ketaatan dalam perkara maksiat terhadap Allah.

Dalam hubungan lain, pemboikotan yang dilakukan oleh rakyat adalah suatu yang berkesan jika dibandingkan dengan pemboikotan yang dilakukan oleh kerajaan. Kerana rakyatlah yang membeli dan menjual. Kerajaan tidak mampu campur tangan dalam hal ehwal peribadi seseorang. Jika seluruh rakyat berazam untuk melaksanakan suatu perkara yang di dalamnya terkandung ketaatan kepada Allah dan RasulNya serta memenuhi kedahagaan ruhani mereka, maka tiada kerajaan yang mampu menghalangnya.

Oleh itu, adalah lebih utama dan lebih baik agar kerajaan dan rakyat mempunyai keazaman yang sama berdasarkan syariat Allah. Dengan itu, pemboikotan yang dilakukan akan memberikan kesan yang lebih baik. Bahkan kerajaan berkewajipan mengambil kira semangat rakyat dan menjadikannya sebagai sandaran ketika sesuatu kerajaan terdedah kepada mana-mana tekanan daripada luar.

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan, untuk menjadikan pemboikotan ekonomi sebagai suatu pemboikotan yang berkesan, hendaklah ia berlaku melalui peringkat-peringkat berikut:

–          Peringkat individu di mana setiap individu melakukan pemboikotan.

–          Peringkat keluarga di mana setiap ahli keluarga di dalam sesebuah rumah yang terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak melakukan pemboikotan.

–          Peringkat masyarakat di mana setiap anggota masyarakat yang terdiri daripada individu, keluarga dan seluruh rakyat melakukan pemboikotan.

–          Peringkat bangsa Arab dan ummat Islam di mana seluruh bangsa Arab dan ummat Islam melakukan pemboikotan.

–          Peringkat ummat Arab dan Islam di mana seluruh kerajaan Arab dan Islam melakukan pemboikotan.

Apabila seluruh peringkat ini saling bertindak dengan melakukan penyelarasan pada setiap peringkat di atas, maka pemboikotan yang dilakukan akan memberikan kesan yang positif dan merealisasikan matlamatnya.

 

e)  Pemboikotan Tidak Akan Berkesan Terhadap Barangan Keperluan

Jelas daripada pelaksanaan pemboikotan dalam realiti yang amali bahawa terdapat barangan keperluan asasi yang tidak mempunyai alternatif barangan tempatan atau hanya terdapat pada negara lain yang juga memusuhi Islam. Contohnya adalah seperti sesetengah ubat-ubatan, program-program komputer dan perkhidmatan internet. Sesetengah orang bertanya apakah jalan keluar daripadanya?

Sesetengah fuqahak mengharuskan (membolehkan) ketika berada dalam situasi darurat yang boleh membawa kepada kemusnahan atau ketika sesuatu keperluan (hajiyyat) dijadikan sebagai keperluan asasi (daruriyyat) yang pada ketika itu kehidupan akan berada dalam keadaan kesempitan yang sukar dihadapi, maka dibolehkan pembelian barangan atau perkhidmatan daripada pihak musuh. Sebagai contoh, jika terdapat seorang pesakit yang memerlukan kepada sejenis ubat tertentu yang tidak terdapat kecuali pada syarikat Amerika. Dalam keadaan ini, tidak terdapat halangan syarak daripada membelinya. Hukum ini disesuaikan melalui firman Allah swt (al-An’am: 119) yang bermaksud: “…kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya…” Allah swt juga berfirman (al-Baqarah: 173) yang bermaksud: “…maka sesiapa terpaksa (memakan bangkai kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Kaedah syarak juga mengatakan bahawa ‘segala keadaan darurat (terpaksa) mengharuskan perkara yang haram’. Oleh itu, hukum asal ialah kita mesti melakukan pemboikotan, dan difatwakan juga jika terdapat barangan keperluan asasi yang tidak mempunyai alternatif dan akan menyebabkan kemudaratan besar terhadap kepentingan Islam, maka pemboikotan tidak dilaksanakan terhadap barangan tersebut.

Tetapi kadar keadaan keterpaksaan seumpama ini daripada seluruh kadar pemboikotan tidak melebihi 1% sahaja. Keadaan keterpaksaan ini juga tidak akan berpanjangan ke suatu tempoh yang lama kerana Allah akan mengadakan alternatif terhadapnya, jika benar kita mempunyai niat dan azam yang kuat. Allah swt berfirman (al-Talaq: 2-3) yang bermaksud: “…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

 Seperkara lagi yang perlu diingatkan ialah hanya orang yang pakar dan mempunyai pengalaman luas sahaja yang boleh menentukan sama ada sesuatu keadaan itu adalah darurat atau sebaliknya. Ini perlu ditegaskan bagi mengelakkan jiwa manusia daripada terus mengambil rukhsah ketika berada di bawah tekanan keperluan. Antara kaedah syarak terhadap perkara darurat sebagaimana ditetapkan oleh para fuqahak adalah sebagaimana berikut:

  1. Hendaklah darurat itu boleh menyebabkan kemusnahan jiwa atau salah satu anggota badan.
  2. Hendaklah darurat itu sedang berlaku atau pasti akan berlaku, bukan suatu yang hanya dijangkakan atau berkemungkinan berlaku.
  3. Hendaklah segala jalan yang halal telah tertutup.
  4. Bukan kerana keinginan diri untuk melakukannya di samping tidak melampau dan melebihi batasan yang diperlukan pada perkara darurat itu.

Daripada sudut yang lain, para pakar dan saintis ummat Islam wajib membuat kajian terhadap alternatif yang halal dan baik melalui kajian yang dijalankan serta sentiasa mengembangkannya agar darurat ini tidak berterusan dan dijadikan alasan yang dieksploitasi untuk perkara lain yang bukan darurat menurut syarak. Ketika menentukan kedudukan darurat ini, kita wajib merasai bahawa saudara-saudara kita di Palestin sedang mengorbankan kanak-kanak, kaum wanita, pemuda, orang-orang tua dan kemudahan asasi mereka serta setiap barang berharga di sisi mereka demi membebaskan tanah air mereka dan membersihkan tanah suci ummat Islam. Kenapakah kita tidak boleh berada pada peringkat pengorbanan yang sama terutamanya melalui pengorbanan benda-benda yang tidak berada dalam lingkungan barangan keperluan utama dan asasi?

 

f) Pemboikotan Bertentangan Dengan Proses Globalisasi

Sesetengah orang mendakwa (antara mereka ialah golongan sekular dan kapitalis yang mempunyai kepentingan hubungan dengan Amerika dan Zionis) bahawa pemboikotan ekonomi merupakan cara kuno dan terkebelakang serta bertentangan dengan orde dunia baru. Sebagaimana ia turut bertentangan dengan Perjanjian Gat yang menyeru ke arah kebebasan perdagangan dan menghilangkan segala halangan di hadapannya. Mereka mula menyusun beberapa kempen dan mengadakan seminar-seminar bagi menentang pemboikotan. Mereka juga menuduh golongan yang menyeru kepada pemboikotan dan melaksanakannya sebagai pengganas yang mesti dihukum. Bahkan sudah terdapat beberapa buah syarikat yang mempunyai hubungan dengan Zionis dan Amerika yang membawa kes mereka yang menyeru ke arah pemboikotan ekonomi ke mahkamah.

Dakwaan ini sebenarnya tidak bersandarkan kepada alasan undang-undang mahupun syarak. Bahkan ia hanyalah dipengaruhi oleh hawa nafsu yang sakit dan dengki serta bersifat materialis. Hati mereka tidak diresapi oleh keimanan. Mereka mengingkari sesuatu yang sudah diketahui umum dalam perkara agama, iaitu kefardhuan jihad dengan segala kemampuan sama ada berbentuk material mahupun moral demi menjaga bumi suci. Ia adalah fardhu ain terhadap setiap orang.

Bukti yang menolak dakwaan tersebut adalah sebagaimana berikut:

Terdapat di dalam al-Quran beberapa contoh pemboikotan terhadap orang-orang musyrikin, di mana mereka tidak dibenarkan untuk mendekati Masjidil Haram sebagaimana terdapat di dalam firman Allah swt (al-Taubah: 28) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberikan kekayaan kepada kamu daripada limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” Tidak seharusnya bagi seseorang yang mendakwa dirinya Islam untuk mengatakan bahawa al-Quran menyeru kepada kemunduran dan keterbelakangan.

Terdapat di dalam kitab-kitab sirah bahawa Rasulullah saw telah diboikot oleh orang-orang musyrik dan kafir di Makkah selama tiga tahun berturut-turut sehingga akhirnya Allah memenangkan orang Islam. Baginda diperlakukan demikian tanpa sebarang alasan yang menasabah. Pada ketika itu, kenapakah golongan sekular tidak menamakan tindakan pemboikotan tersebut sebagai suatu tindakan yang tidak berperi kemanusiaan dan bertentangan dengan ketamadunan?

Tersebut di dalam kitab-kitab fiqh mengenai pengharaman berhubung dengan negara-negara kafir harbi. Antaranya sebagaimana terdapat dalam firman Allah (al-Mumtahanah: 9) yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” Oleh itu, sesiapa yang mempertahankan tanah air dan kemerdekaannya serta menyekat golongan yang mahu menjajah negaranya tidak boleh dianggap sebagai seorang pengganas dan juga kolot, bahkan apa yang dilakukannya adalah bertepatan dengan tuntutan hak asasi kemanusiaan.

Para pemimpin dunia telah menggunakan senjata pemboikotan ekonomi bagi membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman para penjajah. Sebagai contoh Ghandi, Sa’d Zaghlul, Mustafa al-Nahhas dan Tal’at Harb. Kenapa mereka tidak pula dilabelkan sebagai pengganas dan kolot?

Antara piagam Bangsa-bangsa Bersatu yang diterima pakai ialah boleh menggunakan senjata pemboikotan ekonomi bagi menghadapi negara-negara yang melakukan pencerobohan dan menolak ketetapan Majlis Keselamatan. Inilah yang dilakukan oleh negara-negara Islam bagi menentang golongan penceroboh Amerika dan Zionis.

Bangsa-bangsa yang merdeka melakukan pemboikotan terhadap barangan asing meskipun dalam suasana aman bagi mengukuhkan ekonomi negara mereka sendiri, sebagaimana dilakukan oleh negara Cina dan Jepun sekarang. Adakah tindakan mereka ini mundur dan ganas?

Daripada sudut yang lain, kenapakah golongan sekular itu yang kononnya bersimpati terhadap Amerika dan Zionis antarabangsa tidak membantah tindakan Amerika yang menggunakan senjata pemboikotan ekonomi terhadap Iraq, Libya dan Sudan serta negara-negara Arab lain tanpa alasan yang kukuh? Ternyata dakwaan mereka hanya berdasarkan kepada hawa nafsu dan kepentingan keduniaan serta disebabkan mereka menjadi pak turut kepada Amerika dan Zionis antarabangsa. Dakwaan mereka sedikitpun tidak berdasarkan alasan yang jitu.

Daripada sudut yang lain pula, pemboikotan ekonomi terhadap kerajaan yang melampau batas dan melakukan pencerobohan sebenarnya tidak bercanggah dengan proses globalisasi dan Perjanjian Gat. Semua pasaran terbuka luas di hadapan semua negara berdasarkan Perjanjian Gat. Sesuatu bangsa juga berhak untuk tidak membeli apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang mereka kehendaki.

Daripada sudut teori, jika bangsa Arab dan ummat Islam mahu memboikot Kentucky, Mac Donald’s, rokok buatan Amerika dan sebagainya, maka tiada kerajaan yang boleh memaksa orang ramai untuk pergi ke kedai-kedai tersebut walau bagaimana kuat sekalipun kerajaan tersebut. Kedai-kedai tersebut akhirnya terpaksa menggulung tikar. Dalam masa yang sama, permintaan akan berpindah kepada keluaran tempatan. Dengan itu, kebaikan akan dapat direalisasikan bagi anak bangsa sendiri sama ada mereka yang mengeluarkan barangan atau menggunakannya. Dengan itu juga segala hasil kebaikan daripada negara Arab dan Islam dapat dipergunakan untuk kebaikan negara Arab dan Islam juga.

Contoh amali yang lain: Jika salah seorang ahli korporat mengimpot barangan Amerika atau Israel dan menawarkannya di pasaran, lalu para peniaga dan pengguna serta orang lain memboikot barangan tersebut, nescaya barangan tersebut akan terus berada di gudang tidak dapat dijual. Dengan itu, tidak akan ada orang yang berani mengimpotnya lagi. Inilah tujuan dan matlamat pemboikotan yang dilakukan.

Pada peringkat bangsa Arab dan ummat Islam pula, jika perdagangan di antara negara dan rantaunya dapat dijalankan dengan penuh kebebasan dan dilakukan dalam rangka integrasi, tolong menolong, penyelarasan dan pengarahan sehingga terbentuk pasaran Arab Islam bersama, nescaya keadaan ini akan menyebabkan pemboikotan ekonomi dapat diaktifkan dengan lebih berkesan terhadap pihak musuh, dan ummah ini akan mendapat kemuliaannya.

Kesimpulan: Pemboikotan ekonomi bagi menentang golongan pelampau adalah perbuatan yang dibenarkan oleh syarak. Ia adalah salah satu sunnah Allah swt. Ia juga adalah senjata ekonomi bagi memerdekakan tanah air daripada penjajah dan membersihkan tanah suci daripada najis. Adalah suatu kesalahan jika tindakan tersebut dilabelkan sebagai suatu tindakan yang tidak bertamadun. Bahkan sebaliknya, ia adalah suatu tindakan yang menunjukkan kategori iman yang paling rendah bagi memelihara hak. Jika ada orang mengatakan bahawa sesiapa yang melakukan pemboikotan ini adalah pengganas, maka dakwaan itu adalah benar jika yang dimaksudkan ialah untuk menggerunkan pihak musuh, menyekat dan menghalangnya daripada meneruskan pencerobohan. Dalilnya daripada al-Quran ialah firman Allah swt (al-Anfal: 60) yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu.”

 

g) Pemboikotan: Tindakan Beremosi Yang Tidak Praktikal

Banyak kali digembar gemburkan bahawa bangsa Arab dan ummat Islam adalah bangsa yang mempunyai tabiat beremosi dan menurut semangat. Ia hanya bertindak balas sahaja atau bertindak defensif. Tidak mempunyai sebarang strategi jangka panjang. Ini ditegaskan lagi oleh tindakan memboikot yang diambil secara semberono. Tiada penyelarasan, tiada kerjasama dan tiada kesepaduan di antara individu dan institusi-institusi masyarakat yang mendokong tindakan pemboikotan itu. Adalah dijangkakan tindakan tersebut lambat laun akan menjadi lemah dan keadaan akan kembali menjadi sedia kala semula selepas tempoh waktu yang singkat sahaja.

Dakwaan ini sebenarnya mempunyai sedikit kebenaran. Ia adalah peluang bagi kita mengkaji semula tindakan yang diambil secara semberono itu agar menjadi terancang, berperencanaan, tersusun, terarah, berstrategi dan berterusan. Ini perlu dilakukan agar tindakan tersebut menjadi berkesan dan dapat merealisasikan matlamatnya. Ia perlu dilakukan melalui sistem pentadbiran yang tersusun.

 

Siri 4: Jihad Ekonomi: Apakah Yang Perlu Dilakukan?

 

Falsafah Jihad Ekonomi

Ramai orang bertanya:

–          Apakah yang perlu kami lakukan demi membantu saudara-saudara kami para mujahidin di Palestin dan tempat-tempat lain?

–          Apakah yang perlu kami lakukan untuk mempertingkatkan usaha jihad ekonomi?

–          Apakah yang perlu kami lakukan untuk mempertingkatkan usaha pemboikotan secara umum?

Sebagai jawapannya, saya mengatakan bahawa jihad ekonomi hendaklah berdasarkan kepada tindakan, bukan kepada perkataan semata-mata. Wajib ke atas setiap orang Islam yang beriman bahawa jihad adalah suatu kefardhuan syarak, keperluan akidah, kewajipan agama dan tanah air, melaksanakan perkara-perkara berikut:

Pertama: Menyedar dan menyeru masyarakat agar melakukan pemboikotan ekonomi dan berjihad dengan harta pada jalan Allah. Ia bermula dari rumah ke rumah, kemudian masyarakat, kemudian institusi-institusi dan akhirnya kerajaan. Ini adalah peringkat iman yang paling lemah. Alangkah baiknya jika kerajaan menggunakan segala jenteranya termasuk media massa untuk memberikan penerangan bahawa pemboikotan ini adalah suatu kefardhuan syarak, keperluan akidah, kewajipan agama dan tanah air, agar para ulama dapat memberikan sumbangan dalam hal ini.

Kedua: Sentiasa sedar waspada terhadap tipu daya Amerika dan Yahudi, kerana mereka menghantar barangan mereka tanpa menulis ‘dibuat di Israel’. Oleh itu, negeri asal sesuatu barangan dibuat hendaklah sentiasa dipastikan. Ini menjadi tanggungjawab kerajaan, para pengimpot dan para pengguna sendiri. Mereka sama sahaja di hadapan Allah daripada sudut pertanggungjawaban.

Ketiga: Hendaklah memberikan keutamaan kepada barangan tempatan, atau yang dikeluarkan oleh negara-negara Arab dan Islam, atau oleh negara asing yang tidak bermusuh dengan Islam serta orang-orang Islam, dan tidak menyokong Israel.

Keempat: Hendaklah berdikari dan mengembangkan segala industri tempatan, terutamanya pada barangan yang banyak diimpot dari luar. Kesepaduan dan penyelarasan juga hendaklah dilaksanakan antara negara-negara Arab dan Islam.

Kelima: Menolak bantuan Amerika. Sesiapa yang tidak memiliki kekuatan, maka dia tidak mampu membuat keputusan sendiri. Kita juga hendaklah beramal dengan pesanan Rasulullah saw yang sentiasa menggesa agar kita sentiasa bekerja dan menjadi produktif. Sabda baginda saw yang bermaksud: “Mancari (harta) yang halal adalah suatu kefardhuan selepas sembahyang fardhu.” (Diriwayatkan oleh al-Tabarani) Baginda saw juga mencela perbuatan meminta-minta. Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang sentiasa meminta-minta (sedekah), maka dia akan menemui Allah dalam keadaan mukanya tidak mempunyai daging.” (Muttafaq ‘alaih)

Keenam: Menggunakan matawang Euro ketika melakukan transaksi perdagangan sebagai ganti daripada penggunaan dolar Amerika. Ini akan melemahkan ekonomi pihak musuh. Setiap individu, syarikat, ahli korporat, institusi-institusi kerajaan berkewajipan menukar bentuk simpanan, pelaburan dan transaksi perdagangan daripada matawang dolar kepada matawang negara, sama ada negara Arab atau negara Islam lain.

Ketujuh: Tidak berurusan dengan bank-bank Amerika dan Zionis. Keutamaan hendaklah diberikan kepada bank-bank Islam dan negara Arab agar ia bertambah kukuh dan dapat merealisasikan perkembangan yang sihat bagi ekonomi negara.

Kelapan: Membatalkan atau menggantung (ikut keadaan) segala kontrak perdagangan yang telah sedia termeterai dengan pihak musuh secara beransur-ansur dalam rangka perancangan menyeluruh dan berdasarkan strategi berperancangan. Kontrak-kontrak itu digantikan dengan pihak-pihak yang paling kurang pun tidak memperlihatkan permusuhannya terhadap Islam dan ummatnya serta tidak menyokong pihak musuh.

Kesembilan: Tidak menggunakan khidmat yang disediakan oleh firma-firma kepakaran Amerika yang diragui. Pada zahirnya, ia kelihatan amat baik bagi kita, namun sebenarnya ia amat merosak dan membahayakan. Kita hendaklah bergantung kepada para pakar kita yang seharusnya mendapat perhatian yang lebih daripada kita. Daripada kajian-kajian lapangan yang dijalankan, jelas menunjukkan kebanyakan firma tersebut sebenarnya menjalankan tugas-tugas risikan dan pengumpulan maklumat kepada pihak musuh.

Kesepuluh: Pihak pemerintah hendaklah memberikan kebebasan kepada rakyat untuk melaksanakan tugas mereka iaitu melaksanakan ketetapan-ketetapan yang diambil oleh jawatankuasa, badan dan pertubuhan mereka untuk melakukan pemboikotan ekonomi. Pihak kerajaan juga hendaklah tidak mengambil tindakan-tindakan pembenterasan seperti penangkapan, penahanan dan pembunuhan terhadap para pemuda yang sedang bersemangat demi membantu saudara-saudara mereka di Palestin dan di tempat-tempat lain. Pihak kerajaan juga hendaklah membebaskan mereka yang menjadi tahanan politik agar semuanya berdiri di dalam satu barisan kekuatan menentang musuh kerana membenarkan firman Allah swt (al-Anfal: 45-46) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” Firman Allah lagi (Ali ‘Imran: 103) yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.”

Kesebelas: Sentiasa memperbaharui niat yang ikhlas bahawa segala amalan yang dilakukan ini hanya kerana Allah, bukan kerana hawa nafsu sedikitpun. Matlamat utama dalam segala amalan salih yang dilakukan ialah bagi memperolehi keredhaan Allah semata-mata. Benarlah firman Allah swt (al-Kahf: 110) yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.

Leave a Comment