Disiplin Tarbiah Dalam Gerak Kerja Dakwah Umum

Tulisan: Ustaz Mohamed Hamed Eliwa

Terjemahan: Ustaz Tajul Ariffin

Sesungguhnya termasuk dalam tujuan dakwah kepada Allah itu ialah menyebarkan kebaikan di kalangan manusia, amar makruf dan nahi mungkar, menggalakkan manusia melakukan kebaikan serta memberi amaran bagi manusia dari perkara keji dan mungkar. Di jalan dakwah ini, kita menghadapi dua jenis amal dakwah:

1) Pembinaan dan takwin.

2) Propaganda dan pengenalan.

Usaha yang dicurahkan untuk kedua-dua garis (Takwin – Takrif) selamanya tidak akan terpisah, bahkan ia saling menyempurna antara satu sama lain.

 

Memandu Masyarakat

Imam Al-Banna membicarakan konsep ini ketika bercakap tentang maratibul amal (susunan amal) yang dituntut daripada seorang al-akh yang benar. Tajuk ini disebut selepas tajuk ‘Dua Susunan Amal’, iaitu islah al-nafs dan takwin al-bait (baiki diri dan membentuk keluarga).

Kata Imam: “Dan memandu masyarakat dengan menyebarkan kebaikan padanya, memerangi perkara keji dan mungkar, menggalakkan melakukan kebaikan, amar makruf dan nahi mungkar, bersegera ke arah kebaikan, menarik pandangan umum masyarakat kepada fikrah Islamiyah serta sentiasa berusaha mewarnai fenomena-fenomena umum dengan fikrah tersebut….”. (Risalah Ta’alim)

Tidak syak lagi bahawa dakwah pada marhalah terbuka dalam masyarakat mestilah bermula dari sifatnya sebagai dakwah dan tarbiyah yang praktikal. Individu-individunya mestilah bergerak menyebarkan kebaikan di tengah-tengah masyarakat dengan kemuliaan akhlak – hasil tarbiyah dan nilai-nilai yang ditanam oleh dakwahnya – berdasarkan manhaj Islam. Bekalan seseorang tidak terpisah dari gerak kerjanya. Tarbiyah tidak terpisah dari dakwah dan khidmatnya kepada masyarakat.

Di sini kita tidak mahu berbincang tentang faedah bekerja dalam masyarakat umum serta faktor-faktor pendorong ke arah itu, tetapi sebagaimana kerja bersama masyarakat punyai banyak faedah, ia juga

punyai disiplin yang mesti dipelihara pada batas-batasnya.

 

Disiplin Amal Dakwah Umum dan Propaganda

Ketika kita sibuk dengan aktiviti-aktiviti umum di pelbagai medan, kita mesti tunduk kepada disiplin tarbiah yang telah ditetapkan. Disiplin berkaitan bagaimana kita mempromosi program dan aktiviti kita supaya ia selari dan secucuk dengan projek pengaktifan dakwah, bagaimana cara sesuai untuk kita wara-warakan itu semua kepada masyarakat. Semua disiplin berkaitan faktor-faktor yang mendorong usaha ini dan juga objektif pengiklanan kepada masyarakat dan juga hubungkait antara aktiviti kita dengan usaha selain daripada kita yang juga berada di medan amal umum:

Kepentingan menghadirkan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala. Amal yang dilakukan diniatkan kerana Allah SWT demi mengharapkan keampunan dan keredhaanNya dan kita tidak akan sekali-kali menuntut balasan selain itu.

Bahawa hakikat sebenar harakah umum dakwah di kalangan manusia adalah ibadat. Kita beribadat kepada Allah dalam semua pergerakan dan diam kita pada semua medan gerakan (ekonomi, social, politik, dakwah, pendidikan, kesihatan… dsb). Dari sini kita mestilah merasai makna beribadat dan ubudiyyah dalam kerja-kerja dakwa umum bersama masyarakat.

Mesti berhati-hati supaya kerja yang dilakukan – zahir yang diperlihatkan kepada orang ramai – tidak dihinggapi penyakit riya’ atau sum’ah, lalu kerja menjadi punah. Maka rosak dan sia-sialah usaha tanpa pahala.

Orang yang terdedah dalam kerja kemasyarakatan daripada individu kita mestilah terdiri dari kalangan mereka yang punyai sum’ah (reputasi) yang baik, profil dan perjalanan hidup yang cemerlang. Mereka punyai keistimewaan dengan taqwa, akhlak mantap, mampu mempengaruhi dan tidak terpengaruh dengan penyakit dan tingkahlaku jelek. Mereka adalah cerminan dakwah di hadapan khalayak manusia.

Memelihara kesempurnaan adab dan kemuliaan akhlak ketika bersama masyarakat. Dalam bab ini, Imam Al-Banna mengatakan: “Hendaklah kamu berusaha agar sentiasa benar dan jangan melampaui batas. Berusahalah agar propaganda yang kamu laksanakan berada pada batas-batas adab dan akhlak yang mulia. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh mengumpulkan hati dan menjinakkan ruh serta ingatlah setiap kali dakwah berjaya, ia adalah dengan sebab kelebihan Allah SWT jua. Firman Allah SWT: “….bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dia lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”.

Jangan sampai kerja dakwah, kerja kemasyarakatan dan propaganda tersebut membawa kepada perbalahan atau persaingan tidak sihat sehingga menyebabkan perjalanan dakwah tergendala atau melambatkannya dari mencapai matlamat.

Perhatian khusus mestilah diberikan terhadap mereka yang berada pada posisi amal am dari segi tarbiah dan iman. Tabiat kerja sedemikian amat berhajat kepada keprihatian tarbawi secara konsisten. Ini disebabkan tabiat kerja tersebut menuntut demikian; seperti terlibat dengan penganjuran majlis-majlis besar, pentas, mimbar, sentiasa diburu oleh cahaya flash kamera atau terserlah nama dan kerjanya di dada-dada akhbar dan kaca televisyen. Faktor pendorong kepada keperluan tersebut bertujuan bagi menjaga mereka dari terpengaruh dengan fitnah dan kebimbangan dari berlakunya sesuatu perubahan kepada jiwanya bilamana hilangnya perhatian di atas. Lantas hati nanti tergantung dengan dunia bersifat sementara, hawa nafsu yang terdorong ke jalan yang terseleweng dan akan menjauh dari objektif dan matlamat asal dakwah. Maka akan binasalah mereka –na’uzubillah- (Semoga Allah SWT memelihara ikhwah dan akhawat sekalian). Daripada Qatadah, daripada Anas, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang membinasakan: kedekut yang ditaati, nafsu yang diikuti dan rasa ujub dengan diri sendiri”. (Hadis Baihaqi dan dihasankan oleh Al-Albani)

Kerja untuk masyarakat termasuk aktiviti propaganda dakwah bagi mencapai objektif itu seharusnya dibuat berlandaskan prinsip. Ia bukan untuk tindakbalas (reaksi balas) terhadap orang lain atau untuk memperlekehkan usaha lain (pertubuhan atau individu), atau bagi menzahirkan keinginan kita untuk tertonjol bahawa kita lebih baik dan lebih kuat daripada orang lain. Objektif kita mestilah jelas, iaitu sentiasa mengutamakan dakwah, menyebarluaskan kebaikan kepada manusia, memberi khidmat dan memperbaiki yang rosak. Sebelum itu semua mestilah didorong oleh matlamat agong kita iaitu mencapai darjat ubudiyyah sebenar semata-mata kerana Allah SWT

Hendaklah kita semua konsisten dengan hikmah kebijaksanaan dalam dakwah dan propaganda kita. Hendaklah kita memperindahkan jalan dan mu’amalah kita kerana kita disuruh oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman:

(ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ. (النحل:125

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

(وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْناً(البقرة:83

“dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik”.

Termasuk makna dari hikmah kebijaksanaan itu ialah mempamerkan dakwah kita ini dengan ‘approach’ terbaik dan memperelokkan seni komunikasi dengan mereka. Termasuk juga menunjuk qudwah sesuai dengan apa yang kita seru kepadanya. Tidak berlaku apa yang kita cakap tak serupa bikin. Termasuk dari hikmah juga ialah kita mendahului dalam mempraktikkan apa yang kita seru kepadanya kerana:

(إذا كنت إمامي فكن أمامى)

“Bila kamu menjadi imam saya, maka hendaklah kamu berada di hadapan saya”.

Alangkah baiknya jika kita boleh menjiwai bahawa kita ini adalah pembawa kebaikan dan penghubung bagi ummah dan manusia semua mendapat hidayah Allah SWT. Tidak patut ada dalam diri kita rasa tinggi diri, bersikap kasar dan merasa lebih, malah perlu bersikap pro aktif dan sentiasa prihatin. Allah SWT berfirman:

(لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ (التوبة:12

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”.

Tunjukkan sikap lemah lembut dan sopan santun serta berlapang dada. Allah SWT merahmati orang yang mengatakan: “Orang yang melapangkan dirinya (baik sangka) untuk orang lain bermakna dia memiliki dada yang lapang”.

Iaitu orang yang dengan rela hati bersusah payah menyeru manusia kepada dakwah dan ringan tulang berkhidmat untuk kesejahteraan masyarakat, sudah barang tentu dia adalah seorang yang punyai sikap berlapang dada yang tiada tolok banding dan dia adalah seorang yang paling bersedia untuk menerima tanggungjawab.

10. Hendaklah kita sentiasa merenung diri sendiri setelah selesai melaksanakan program dan kerja kemasyarakatan berupa propaganda dan lainnya untuk bermuhasabah: “Apa pulangan yang diperolehi oleh dakwah kita dari kerja-kerja tersebut? Apa pula keuntungan yang kembali kepada kita sebagai individu yang bekerja? Adakah kita menjadi semakin dekat dengan Tuhan kita dari kerja ini? Adakah benar kita telah menyumbang faedah berguna untuk masyarakat dan umat kita? Apakah kesan positif dalam konteks takwin dan tarbiyah kita? Apakah usaha-usaha tersebut telah menambahkan sesuatu kemahiran atau pengalaman untuk dibawa ke masa depan? Dan lain-lain soalan yang boleh ditanya guna untuk menonjolkan kepentingan perbahasan seumpama ini dalam sudut-sudut – faedah dakwah dan tarbiyah daripada kerja umum.

اللهم ارزقنا الاخلاص في القول والعمل ، والسر والعلن ، وكلمة الحق في الرضا والغضب ، واجعلنا ممن عبادك الصالحين ، ومن جند دعوتك العاملين المخلصين

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين

 

Leave a Comment