Antara Semalam dan Hari Ini بيـن الأمـس و اليـوم

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah. Salawat dan salam sebanyak-banyaknya daripada Allah buat junjungan kita, Muhammad seorang pembuka dan nabi yang terakhir, begitu juga buat kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

 

1. Risalah Nabi Al-Amin

Semenjak 1370 tahun yang lalu, Muhammad bin Abdullah seorang nabi yang buta huruf berseru di tengah kota Mekah di puncak bukit Safa:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semua, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimah-Nya (Kitab-kitab-Nya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk. (Al-A’raf: 158)

Seruan yang begitu padu ini adalah garis pemisah untuk seluruh alam ini; antara zaman silam yang gelap gelita dengan masa hadapan yang cerah bersinar, masakini yang harmoni dan bahagia. Suatu pengisytiharan yang dengan jelas mengemukakan suatu sistem baru yang digubal oleh Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui. Utusan-Nya ialah Muhammad seorang manusia pembawa peringatan. Kitab-Nya ialah al-Quran sebagai penunjuk dan penyuluh. Tentera-Nya ialah generasi awal Muhajirin dan Ansar serta generasi berikutnya yang mengikut jejak mereka dengan baik. Sistem ini bukan rekaan manusia tetapi adalah hasil ciptaan Allah. Apakah ada ciptaan manusia yang lebih baik daripada ciptaan Allah?

Engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran; cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan. (Al-Shura: 52-53)

2. Pendekatan al-Quran dalam merubah masyarakat

Al-Quran mengandungi segala kaedah ke arah perubahan masyarakat yang menyeluruh. Al-Quran telah turun sedikit demi sedikit kepada Nabi s.a.w. dan dibentangkan kepada orang-orang yang beriman dari semasa ke semasa mengikut keperluan, keadaan dan peristiwa tertentu.

Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu. Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu). (Al-Furqan: 32-33)

Akhirnya sempurnalah penurunan wahyu dan kini ia terpelihara dalam dada dan lembaran dalam tempoh lebih dua puluh dua tahun. Dalam kitab ini Allah muatkan segala keterangan yang diperlukan untuk umat ini. Termasuklah dasar-dasar yang perlu bagi melakukan perubahan yang menyeluruh kepada masyarakat. Hampir semuanya boleh disimpulkan dalam dasar-dasar berikut:

a.  Ketuhanan (rabbani).

b.  Mengangkat martabat manusia.

c.  Mengesahkan wujudnya hari pembalasan.

d.  Melaungkan ikatan persaudaraan seluruh manusia.

e.  Mengajak kaum lelaki dan wanita supaya bangkit bersama. Mengisytiharkan kerjasama dan kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta menggariskan peranan masing-masing secara terperinci.

f.  Menjamin kestabilan masyarakat dengan cara memperakui hak-hak untuk hidup, memiliki harta, bekerja, sihat tubuh badan, bebas, berilmu, keselamatan setiap individu dan hak menentukan sumber pendapatan.

g.  Mengawal dua naluri manusia iaitu naluri menjaga keselamatan nyawa dan naluri menjaga kesinambungan zuriat, di samping mengatur keperluan mulut dan seks.

h.  Tegas dalam memerangi jenayah yang sebenar.

i.  Memelihara perpaduan umat Islam dan menghapuskan segala bentuk dan punca yang membawa perpecahan.

j.  Mewajibkan umat Islam melaksanakan jihad demi menegakkan prinsip kebenaran yang diketengahkan oleh sistem ini.

k.  Meletakkan negara sebagai wakil kepada gagasan (fikrah) ini dan bertindak sebagai penjaga gagasan ini. Negara ini juga bertanggungjawab mencapai matlamat gagasan ini dalam sebuah masyarakat dan kemudian menyampaikan gagasan ini ke seluruh manusia.

 

3. Pelan Tindakan Islam

Sistem al-Quran berbeza dengan sistem-sistem ciptaan manusia atau falsafah teoritikal yang lain kerana segala prinsip dan ajaran al-Quran yang berbentuk teori bukan hanya bertempat dalam jiwa atau sekadar pandangan yang tertera dalam buku atau ungkapan yang diucap di mulut atau bibir sahaja. Sebaliknya demi memantap, mengukuh dan merealisasikan kesan serta hasilnya, Islam meletakkan beberapa bentuk tindakan. Islam juga mewajibkan umat yang mengimani dan menganutinya supaya berusaha bersungguh-sungguh mengamalkannya. Malah Islam meletakkan amalan-amalan ini sebagai suatu kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan atau diabaikan. Islam juga memberikan ganjaran kepada mereka yang mengamalkannya dan menghukum sesiapa yang cuai hingga ke tahap menyingkirkannya daripada masyarakat ini dan mencampakkannya ke tempat yang menyeksakan.

Antara amalan terpenting yang diwajibkan oleh sistem ini sebagai benteng dalam usaha memantapkan prinsipnya ialah:

a.  Sembahyang, zikir, taubat, istighfar dan sebagainya.

b. Puasa, bersederhana dan berwaspada dengan kemewahan.

c.  Zakat, sedekah dan memberi sumbangan untuk kebajikan.

d.  Haji, pelancongan, lawatan, penerokaan dan melihat alam ciptaan Allah.

e.  Mencari rezeki, bekerja dan mengharamkan amalan mengemis.

f.  Jihad, berperang, mempersiapkan angkatan tentera, menjaga keluarga para pejuang dan kepentingan mereka semasa ketiadaan mereka.

g.  Menyuruh perkara yang baik dan memberikan nasihat.

h.  Mencegah perkara yang tidak baik serta memulaukan tempat dan pelakunya.

i.  Membekalkan setiap lelaki dan wanita Islam dengan ilmu dan pelbagai kemahiran hidup yang sesuai dengan fitrah masing-masing.

j.  Bergaul dengan baik dan memiliki sepenuhnya akhlak yang baik.

k.  Menjaga kesihatan badan dan pancaindera.

l.  Tanggungjawab sosial antara pemerintah dan rakyat, iaitu antara tanggungjawab memelihara rakyat dan kewajipan mentaati pemerintah.

Setiap orang Islam dituntut melaksanakan segala kewajipan ini dan memastikan perlaksanaannya sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Mereka juga tidak boleh mengabaikan mana-mana kewajipan ini. Semua kewajipan ini telah dinyatakan dalam al-Quran al-Karim. Malah telah dijelaskan dengan cukup terperinci melalui amalan Nabi s.a.w., para sahabat dan generasi berikutnya dengan cara yang amat mudah dan jelas. Setiap satu atau beberapa amalan tersebut di atas berperanan bagi memantap dan mengukuhkan satu-satu prinsip atau beberapa prinsip yang telah dinyatakan oleh teori sebelum ini yang hendak dicapai oleh Islam dan membolehkan manusia merasai hasil serta kesannya.

 

4. Negara Islam Pertama

Berdasarkan prinsip-prinsip sistem kemasyarakatan al-Quran yang mulia ini, tertegaklah sebuah negara Islam pertama yang mengimani Islam yang sebenar, melaksanakan Islam secara menyeluruh dan menyebarkan Islam ke seluruh alam. Malah khalifah Islam yang pertama pernah berkata: “Jika saya kehilangan satu tali unta nescaya saya akan temuinya dalam kitab Allah.” Malah beliau telah melancarkan serangan terhadap golongan yang enggan membayar zakat dan meletakkan mereka sebagai golongan yang murtad kerana mereka menghancurkan salah satu rukun sistem ini. Beliau berkata: “Demi Allah, jika mereka enggan membayar kepada saya walaupun seutas tali unta yang pernah mereka bayar kepada Rasulullah s.a.w. nescaya saya akan perangi mereka selagi pedang ini berada di tangan saya.”

Segala elemen perpaduan dan penghayatannya wujud dalam diri ummah yang baru lahir ini. Perpaduan masyarakat begitu menyeluruh kerana semuanya disatukan di bawah sistem al-Quran dan bahasa al-Quran. Perpaduan politik pula wujud kerana semuanya disatukan di bawah naungan Amirul Mukminin, di bawah panji khalifah yang berada di ibu kota. Perpaduan ini tidak akan dapat dihalang walaupun wujud desentralisasi dalam ketenteraan, urusan kewangan Baitul Mal dan tindakan para gabenor. Ini kerana semua pihak bekerja dengan satu akidah dan satu arahan.

Prinsip al-Quran ini telah berjaya menyingkir amalan penyembahan berhala yang menyesatkan di semenanjung Tanah Arab dan bumi Parsi. Malah prinsip ini berjaya menghapuskannya sama sekali. Prinsip ini juga berjaya menyingkir bangsa yahudi yang jelek dan meminggirkannya ke satu sudut yang sempit serta berjaya menghapus sama sekali segala kuasa agama dan politik mereka. Prinsip ini juga berjaya mencabar agama Kristian hingga kuasanya di dua benua, Asia dan Afrika berjaya dinyahkan dan akhirnya terhad di benua Eropah di bawah naungan negara Rom Timur di Constantinople. Dengan perubahan ini kuasa rohani dan politik negara Islam mula mengambil alih dua benua terbesar tersebut.

Prinsip ini seterusnya mengorak langkah untuk menembusi benua ketiga dan menyerang Kota Constantinople dari arah timur seterusnya mengepung kota tersebut sehingga mereka terpaksa menanggung kesengsaraan akibat kepungan tersebut. Eropah juga diserang dari arah barat, apabila Andalus berjaya ditembusi dan tentera Islam yang gagah perkasa berjaya mara sehingga ke tengah Perancis serta di bahagian utara dan selatan Itali. Di sebelah barat Eropah, berdiri megah sebuah negara yang tersergam indah dengan kegemilangan cahaya ilmu. Akhirnya Kota Constantinople jatuh dan Kristian kini dipinggirkan ke suatu ceruk di tengah Eropah. Armada Islam membelah gelombang dua lautan; Laut Merah dan Laut Mediterranean (Laut Putih) yang kini disenaraikan sebagai lautan Islam. Dengan ini juga bermakna angkatan tentera negara Islam berjaya menguasai pintu laut timur dan barat dan menguasai sepenuhnya lautan dan daratan.

Bangsa-bangsa Islam mula berhubung dengan bangsa-bangsa lain dan berjaya mengaut pelbagai teknologi. Walaupun demikian kekuatan iman dan keutuhan sistem Islam tetap berjaya menguasai bangsa-bangsa ini hingga mampu mengubah bangsa-bangsa ini menjadi bangsa Arab atau hampir menjadi Arab. Bangsa-bangsa ini berjaya dicorak dan dikuasai oleh bahasa Arab dan agama Islam yang indah, bertenaga dan menarik ini. Malah umat Islam bebas mencedok elemen yang baik dalam teknologi ini tanpa sedikitpun memberi kesan kepada perpaduan masyarakat dan politik mereka.

 

5. Faktor Perosak Dalam Struktur Negara Islam

Walaupun memiliki kekuatan yang kukuh dan kuasa yang luas namun beberapa faktor perosak mula menyusup masuk ke dalam struktur umat al-Quran ini. Faktor-faktor ini semakin bertapak kukuh dan merebak sedikit demi sedikit hingga berjaya merobek dan menggoncang pusat negara Islam pada kurun keenam Hijrah ketika diserang oleh Tartar dan sekali lagi pada kurun keempat belas Hijrah. Melalui kedua-dua serangan ini umat Islam mula bertaburan dan berpecah kepada negara-negara kecil yang tercari-cari langkah untuk bersatu dan bangkit semula.

Faktor-faktor perosak yang utama ialah:

a. Percakaran politik dan sikap fanatik selain perebutan kuasa dan pangkat, sedangkan Islam telah memberikan amaran yang keras mengenai masalah ini. Islam mengajak umatnya supaya mengambil sikap bersederhana dengan soal pangkat. Islam menarik pandangan umatnya mengenai aspek ini yang selalu menjadi faktor kelemahan dan kehancuran sesebuah bangsa dan negara.

Dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Al-Anfal: 46)

Tambahan pula Islam sentiasa mengingatkan umatnya supaya sentiasa ikhlas dengan Allah dalam setiap ucapan dan tindakan mereka. Islam juga mengingatkan mereka supaya menjauhkan diri daripada sikap mengejar pengaruh dan pujian.

b. Perselisihan dalam soal asas agama dan mazhab serta mengalih hakikat agama ini daripada sebagai akidah dan amalan kepada hanya sebagai istilah yang kaku tanpa roh dan nyawa. Kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w. telah diabaikan. Umat Islam bersikap jumud dan fanatik dengan sesuatu pandangan dan pendapat. Mereka gemar berbahas, berdialog dan berdebat. Semua sikap ini telah diingatkan oleh Islam dan telah dilarang sekeras-kerasnya. Malah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Sesebuah bangsa tidak akan sesat setelah mereka menerima hidayah yang mereka amalkan melainkan apabila mereka mula berdebat.”

c. Tenggelam dalam pelbagai bentuk kemewahan dan kesenangan. Umat Islam hanyut dalam keseronokan dan syahwat. Malah kemewahan pemerintah Islam silam seperti yang diceritakan oleh sejarah silam amat jauh berbeza berbanding orang lain. Sedangkan mereka pernah membaca firman Allah Taala:

Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. (Al-Isra’: 16)

d. Perpindahan kuasa dan kepimpinan kepada bangsa bukan Arab seperti bangsa Parsi, Dailam, Mamluk, bangsa Turki dan sebagainya yang tidak menghayati citarasa Islam yang sebenar. Hati mereka tidak disinari cahaya al-Quran kerana mereka sukar memahami maksudnya. Sedangkan mereka pernah membaca firman Allah Taala:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (Aali Imran: 118)

e. Mengabaikan ilmu-ilmu yang berbentuk praktikal dan ilmu-ilmu dunia sebaliknya membazir masa dan tenaga dengan falsafah-falsafah yang bersifat teori yang tidak membuah hasil serta ilmu-ilmu berbentuk fantasi semata-mata. Sedangkan Islam menggalakkan mereka memerhatikan alam ini serta meneliti rahsia makhluk dan menjelajah bumi ini. Islam juga memerintahkan mereka supaya memikirkan tentang alam maya ciptaan Allah ini:

Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan. (Yunus: 101)

f. Kelekaan para pemerintah dengan kuasa yang dimiliki, terpedaya dengan kuasa yang ada dan lupa melihat perkembangan yang wujud dalam masyarakat bangsa lain. Kealpaan ini menyebabkan bangsa lain lebih kehadapan dari segi potensi, kebolehan dan mampu menyerang umat Islam pada bila-bila masa. Al-Quran telah menyuruh umat Islam supaya sentiasa peka dan mengingatkan mereka akibat buruk sebarang kelalaian. Al-Quran menyifatkan orang yang lalai sebagai binatang malah lebih teruk daripada itu:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A’raf: 179)

g. Tertipu dengan helah musuh yang bijak membujuk. Terpesona dengan hasil-hasil usaha musuh dan cara hidup mereka seterusnya meniru budaya hidup pihak musuh yang merosakkan dan tidak berfaedah. Sedangkan Islam melarang mereka meniru gaya musuh. Malah wujud perintah yang jelas menyuruh umat Islam supaya tidak mengikut musuh dan sentiasa menjaga identiti umat Islam. Islam juga mengingatkan akibat buruk sikap meniru musuh ini apabila al-Quran menyebut:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman. (Aali Imran: 100)

Dalam ayat lain: Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi. (Aali Imran: 149)

 

6. Pertembungan Politik

a. Usaha-usaha bagi menghancurkan umat Islam : Segala faktor di atas mula memberikan kesan kepada struktur negara dan umat Islam. Bangsa-bangsa yang ditakluk tadi mula merasakan sudah tiba masanya untuk mereka membalas dendam dan menghancurkan negara Islam yang pernah suatu ketika dahulu menakluk negara mereka dan mengubah semua elemen utama dalam hidup mereka. Bangsa Tartar mula menyerang umpama bah melanda negara Islam dan mencarik-carik tubuh negara ini satu demi satu hingga mereka berjaya mara ke Baghdad, pusat pemerintahan Khalifah Abbasiah. Malah mereka menghenyakkan kaki mereka ke tubuh Khalifah al-Mu’tasim. Akibatnya robohlah kekuatan negara Islam dan buat pertama kalinya rangkaian negara ini berkecai menyebabkan bangsa-bangsa Islam berpecah kepada negara-negara kecil. Masing-masing memilih Amirul Mukminin dan haluan sendiri. Kristian di Eropah turut menyedari hakikat ini. Mereka mengumpulkan segala kekuatan untuk menggempur Islam di timur, iaitu di Asia dan Afrika melalui sembilan siri Perang Salib yang disertai oleh para satria, raja dan orang awam. Angkatan tentera ini berjaya membina sebuah negara Salib di Baitul Maqdis yang mengancam bangsa Islam di timur dan barat. Malah mereka turut menyerang Mesir, sebuah negara paling berkuasa ketika itu.

b. Kemenangan demi kemenangan : Namun Allah masih belum mengizinkan kesesatan mengalahkan kebenaran. Mesir akhirnya berjaya menggabungkan beberapa buah negara-negara kecil di sekitarnya seterusnya memimpin mereka menyerang tentera salib di bawah pimpinan Salahuddin. Baitul Maqdis berjaya diambil kembali dan tentera salib terpaksa menerima kekalahan mereka di Hittin.[1] Selepas itu di bawah pimpinan al-Zahir Baibars mereka berhadapan pula dengan Tartar dan menghalau mereka keluar di Ain Jalut[2] . Setelah itu khalifah Islam kembali bertakhta dan dengan izin Allah, Islam kembali bernaung di bawah sebuah negara yang memiliki pengaruh yang luas dan kuat. Negara ini berjaya menyatukan kekuatan umat Islam dan menggabungkan kebanyakan bangsa-bangsa Islam di bawah naungannya. Sebagai sebuah negara yang berwibawa, negara ini mengorak langkah untuk menyerang Kristian di pusat pemerintahannya seterusnya berjaya menakluk Constantinople. Negara ini berjaya menyebarkan sayapnya hingga ke tengah Eropah dan berjaya sampai hingga ke Vienna. Inilah negara Turki Othmaniah.

c. Bibit-bibit kebangkitan Eropah : Negara Islam merasa selesa dan alpa di bawah naungan kerajaan Othmaniah dan sultan-sultan Othmaniah hingga terleka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Dalam masa yang sama, Eropah yang pernah mengecapi sinaran Islam di Barat melalui Andalus dan Timur melalui angkatan salib tidak pernah mensia-siakan peluang. Mereka tidak pernah lupa untuk belajar daripada pengalaman silam. Dengan itu, Eropah mula mempertingkatkan kekuatannya dan bergabung di bawah pimpinan bangsa Frank di Portugal. Mereka akhirnya berjaya menyekat kemaraan tentera Islam di Barat. Mereka berjaya menimbulkan pergeseran di kalangan umat Islam Andalus. Kesannya umat Islam Andalus sentiasa bercakaran sesama sendiri sehingga akhirnya umat Islam Andalus berjaya diusir ke negara-negara jajahan Inggeris dan Perancis atau terpaksa melarikan diri ke bumi Afrika. Tertegaklah sebuah negara baru iaitu negara Sepanyol menggantikan tempat umat Islam. Eropah terus mempertingkatkan kekuatan mereka; mereka bergabung, merencana dan belajar. Mereka menjelajah dan meneroka negara dan benua baru. Penemuan Amerika merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh Sepanyol. Sementara penemuan laluan ke India merupakan hasil usaha Portugis. Setelah itu, muncul pelbagai suara yang menuntut perubahan yang diterajui oleh ramai pejuang perubahan. Mereka mula beralih ke arah ilmu sains dan ilmu yang produktif. Revolusi ini akhirnya membentuk fahaman kebangsaan dan terbentuklah sebuah negara kuat yang meletakkan seluruh matlamatnya untuk menghancur leburkan negara Islam. Mereka membahagi-bahagikan negara Islam dan menguasai sepenuhnya Afrika dan Asia. Negara-negara yang masih baru ini membuat pelbagai perjanjian sesama mereka. Mereka berpegang teguh kepada perjanjian ini sehingga ada kalanya perjanjian ini dianggap amat suci.

d. Serangan-serangan baru : Melalui dasar meneroka, menjelajah dan mengembara ke hujung dunia, Eropah berjaya meluaskan sayap mereka ke seluruh negara-negara Islam yang jauh seperti India dan negara-negara Islam yang berjiran dengan India. Mereka berusaha gigih untuk mencapai cita-cita mereka menghancur leburkan negara Islam yang gagah dan agung. Mereka merencana pelbagai agenda yang adakalanya diungkapkan sebagai “masalah timur” atau “agihan warisan orang sakit”. Setiap negara Eropah mengambil kesempatan yang terbuka luas ini dan mengada-adakan pelbagai alasan yang tidak kukuh. Mereka menyerang negara yang sudah tidak bermaya ini. Hingga berjaya mengambil alih beberapa bahagian negara ini atau mengancam sebahagian struktur negara ini. Serangan ini berterusan dalam tempoh yang lama hingga mereka berjaya memisahkan kebanyakan negara-negara Islam daripada pengaruh kerajaan Othmaniah. Beberapa negara Islam seperti di Barat jauh (Maghribi) dan utara Eropah jatuh ke tangan kuasa Eropah. Dalam masa yang sama beberapa negara bukan Islam yang sebelum ini tunduk di bawah kuasa Othmaniah seperti Greek dan negara Balkan mula memisahkan diri. Pusingan akhir dalam pertembungan ini ialah pada Perang Dunia I tahun 1914-1918 yang membawa kepada kekalahan Turki dan sekutunya. Kekalahan ini membuka peluang sepenuhnya untuk kuasa besar Eropah iaitu Britain dan Perancis selain Itali untuk menguasai bangsa-bangsa Islam yang kini hanya tinggal sebagai warisan agung. Mereka memperkukuhkan kuasa mereka menggunakan pelbagai istilah seperti penjajahan, pemakmuran, perjanjian dan persefahaman. Mereka membahagi-bahagikan negara-negara Islam menurut pembahagian berikut:

1.  Utara Afrika iaitu Maghribi, Algeria dan Tunisia menjadi jajahan Perancis. Tangier diletakkan di bawah kuasa antarabangsa dan kawasan pedalaman di bawah jajahan Sepanyol.

2.  Tripoli dan Barca dijajah oleh Itali yang sememangnya tidak mahu sebarang kesan peninggalan Islam kekal di sana. Itali mewajibkan setiap rakyat Tripoli mendapat kerakyatan Itali malah Tripoli dinamakan sebagai Itali Selatan. Pemerintahan Itali menyebabkan beribu-ribu keluarga dan rakyat kelaparan.

3.  Mesir dan Sudan berada di bawah jajahan Inggeris serta kehilangan segala kuasa.

4.  Palestin dijajah oleh Inggeris dan kemudian membenarkan pula bumi Palestin ini dijual kepada Yahudi untuk dijadikan sebuah negara Zionis.

5.  Syria dijajah oleh Perancis.

6.  Iraq dijajah oleh Inggeris.

7.  Hijaz hanyalah sebuah kerajaan yang lemah dan tidak bermaya, hanya mengharapkan sedekah dan terpaksa bergantung kepada janji-janji manis dan perjanjian yang tidak sah.

8.  Yaman, sebuah kerajaan yang terpinggir, rakyatnya miskin dan diancam oleh peperangan di segenap tempat dan pada bila-bila masa.

9.  Kawasan-kawasan Semenanjung Tanah Arab yang lain hanyalah wilayah-wilayah kecil di mana pemerintahnya hidup dengan hasil bantuan konsul Inggeris. Mereka hidup dengan hasil sisa-sisa makanan Inggeris dan hati mereka sentiasa membara dengan sifat hasad dengki. Dalam masa yang sama wujud perjanjian dan persefahaman erat yang telah dimeterainya antara sekutu-sekutu Eropah bersama pemerintah Semenanjung Tanah Arab, Raja al-Husin bahawa mereka akan membantu beliau untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Arab dan menyalurkan bantuan untuk ketuanan Khilafah Arab.

10. Iran dan Afghanistan pula merupakan kerajaan yang tidak stabil dan sentiasa dipengaruhi oleh pelbagai kepentingan. Adakalanya berpihak kepada umat Islam dan adakalanya berpihak kepada musuh Islam.

11. India dijajah oleh Inggeris.

12. Turkistan dan negara-negara di sekitarnya pula dijajah oleh Rusia. Negara-negara ini terpaksa menanggung keperitan angkara Bolshevik.

Selain daripada itu, minoriti Islam yang berada di beberapa negara tidak mendapat tempat untuk berlindung ataupun bantuan mana-mana kerajaan yang dapat memelihara identiti mereka sebagai orang Islam. Inilah yang berlaku kepada umat Islam di Habsyah, China, Balkan, negara-negara Afrika Tengah, Afrika Tenggara dan Afrika Barat.

Dengan situasi yang sedia ada ini pertembungan politik ini kini berpihak kepada Eropah. Mereka berjaya merealisasikan impian mereka untuk menghancur leburkan empayar Islam dan melenyapkan sama sekali negara Islam. Dari sudut politik, mereka telah berjaya menyingkirkan negara Islam daripada senarai negara yang wujud dan agung.

e. Kembali berkuasa : Pencabulan yang dilakukan secara terang-terangan atau berselindung di sebalik pelbagai perjanjian dan persefahaman ini mengguris luka di dada dan hati umat Islam. Lantas bangsa-bangsa Islam ini segera bangkit menuntut kemerdekaan dan berjuang untuk mengembalikan kemerdekaan serta maruah mereka. Pelbagai pemberontakan tercetus untuk mencapai maksud ini. Turki memberontak. Mesir memberontak. Iraq dan Syria memberontak. Pemberontakan demi pemberontakan berlaku di Palestin dan kawasan pedalaman di Maghribi. Kesedaran umat Islam semakin meluas di setiap tempat. Hasilnya bangsa-bangsa Islam ini berjaya memperolehi semula sebahagian hak mereka. Turki mula berpisah menurut sempadan barunya. Mesir dan Iraq kini merupakan dua negara berasingan. Di Hijaz dan Najd muncul sebagai negara al-Saud. Yaman, Iran dan Afghanistan berusaha memelihara identiti mereka yang tersendiri. Syria kini hampir-hampir mencapai kemerdekaannya.[3] Palestin menarik perhatian dunia melalui isu yang diperjuangkannya. Umat Islam mula mengorak langkah yang betul walaupun kecil dan perlahan tetapi tetap menuju ke arah matlamat yang suci. Ke arah mengembalikan semula kemerdekaan dan harga diri. Ke arah membina semula negara mereka. Walaupun langkah-langkah ini menuju ke arah perkauman yang sempit di mana setiap bangsa menuntut hak mereka secara berasingan dan kebanyakan penggerak ke arah kebatilan ini secara sengaja mengabaikan gagasan penyatuan ummah namun seluruh langkah ini tidak syak lagi akan menuju ke arah penyatuan. Umat Islam akan kembali sebagai sebuah negara yang bersatu menggabungkan pelbagai bangsa di dunia Islam. Sebuah negara yang akan mengibarkan semula panji Islam dan mendokong dakwah Islam. Tidak wujud di dunia ini satu ummah yang disatukan bersama satu bahasa, mempunyai kepentingan fizikal dan rohani yang sama serta berkongsi segala suka dan duka seperti umat Islam.

f. Perang baru : Negara-negara Eropah kini baru keluar daripada kancah perang dunia. Namun hasad dengki dan dendam kesumat masih wujud dalam hati mereka. Bagi sesetengah bangsa, segala persidangan dan perjanjian ini menjadi tamparan hebat buat mereka. Bagi kebanyakan mereka pula semua ini hanya menghancurkan impian mereka. Malah muncul pelbagai ideologi dan fahaman fanatik yang baru. Keadaan ini pasti akan mencetuskan semula persengketaan dan peperangan sengit yang akan menghancur leburkan perpaduan mereka. Keadaan ini akan menyedarkan mereka untuk kembali ke jalan yang benar dan menolak kezaliman mereka sendiri. Keadaan ini juga akan memberi peluang kepada bangsa-bangsa Islam menyusun semula barisan mereka, menggabungkan kekuatan mereka, mengembalikan sepenuhnya kemerdekaan mereka, mewujudkan semula negara mereka dan bersatu di bawah naungan seorang amirul mukminin.

Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). (Al-Qasas: 5)

 

7. Pertembungan Sosial

Tamadun Baru : Bangsa-bangsa Eropah yang berpeluang menjalinkan hubungan dengan Islam dan bangsa Islam; di Timur melalui peperangan salib dan di Barat melalui pergaulan dengan Arab Andalus, bukan sahaja berjaya memperolehi semangat yang tinggi atau kesatuan politik malah lebih daripada itu mereka juga berpeluang untuk memperolehi kesedaran fikiran dan mental yang tinggi, di samping berpeluang memperolehi ilmu yang luas. Hasilnya muncul kebangkitan dari aspek tatasusila dan ilmu dalam semua lapisan masyarakat Eropah. Pihak gereja terpaksa bertindak menghalang fenomena asing ini dengan menggunakan segala kuasa yang ada. Gereja mengenakan seksaan yang berat kepada para sasterawan dan intelek yang membawa fenomena baru ini. Mahkamah-mahkamah menghukum mereka dan mempengaruhi negara serta rakyat supaya menentang mereka. Namun semua ini tidak mampu bertahan untuk berhadapan dengan realiti dan penerokaan ilmu. Akhirnya kebangkitan sains ini beroleh kejayaan besar hingga berjaya menyedarkan negara. Malah negara sebaliknya turut menyerang gereja. Masyarakat Eropah kini bebas sepenuhnya daripada cengkaman kuasa gereja. Mereka kini meminggirkan ahli-ahli gereja di rumah-rumah ibadat dan biara mereka sahaja. Malahan Pope dipaksa bertapa di Vatican. Peranan orang agama dikecilkan pada ruang hidup yang sempit, tidak lebih daripada itu. Eropah kini beranggapan Kristian hanyalah warisan sejarah. Kristian kini hanyalah satu kaedah untuk mendidik rakyat kebanyakan atau salah satu cara untuk menguasai dan memenuhi tujuan politik.

Kemajuan ilmu dengan pelbagai rekaan dan penerokaan mula berkembang di kalangan masyarakat Eropah. Mesin-mesin semakin bertambah. Cara hidup mula beralih mengikut corak industri. Semua ini seiring dengan kebangkitan negara yang kuat dan berpengaruh luas di kalangan negara dan rantau lain. Dunia kini mengalih tumpuan kepada bangsa-bangsa Eropah. Bangsa Eropah kini mampu menikmati segala-galanya. Kekayaan datang mencurah-curah dari semua arah. Namun sudah tentu norma hidup masyarakat Eropah turut berubah selepas itu. Ia kini berlandaskan dasar menyisih agama daripada segala aspek hidup masyarakat terutama dalam aspek kenegaraan, kehakiman dan pendidikan. Ditambah pula dengan dasar materialisme yang ekstrim tumbuh subur sehingga menjadi ukuran dalam semua perkara. Kesannya, tamadun ini bersifat materialistik sehingga menghancurkan segala nilai ajaran agama langit. Budaya ini bertentangan sama sekali dengan ajaran yang dibawa oleh Islam yang menggabungkan antara rohani dan jasmani. Antara ciri utama tamadun Eropah ialah:

1. Menolak agama, meragui kewujudan Allah, menafikan adanya roh, mengabaikan balasan akhirat dan hanya menerima alam yang boleh dirasa.
Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat. (Al-Rum: 7)

2. Membolehkan segala-galanya, mementingkan keseronokan, mencari kepuasan dunia tanpa batasan, mengikut kehendak perut dan nafsu, menonjolkan wanita dengan pelbagai fesyen yang menggoda dan mengghairahkan, hanyut dalam pelbagai jenayah yang merosakkan jasad dan akal, menghancurkan sistem kekeluargaan dan kebahagiaan rumahtangga.

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka. (Muhammad: 12)

3. Individualistik atau mementingkan diri sendiri. Setiap orang hanya memikirkan keuntungan diri sendiri. Setiap kelas dalam masyarakat saling tindas-menindas antara satu sama lain dan sentiasa membolot segala peluang yang ada. Dalam masa yang sama setiap bangsa begitu fanatik dengan bangsa sendiri dan merendah-rendahkan bangsa lain. Mereka sentiasa berusaha menguasai bangsa yang lemah.

4. Riba; Mereka menerima pelaksanaan sistem riba, meletakkan riba sebagai asas kepada segala urusan, mempelbagaikan bentuk dan cara pelaksanaan. Mereka mengamalkannya secara menyeluruh termasuk antara negara dengan negara dan antara individu dengan individu.

Budaya materialistik yang tegar dalam masyarakat Eropah ini menyebabkan jiwa mereka rosak, akhlak mereka pincang dan tidak berupaya menghapuskan jenayah. Akibatnya, timbul pelbagai masalah, lahir pelbagai fahaman perosak, tercetus pelbagai pemberontakan. Sistem ekonomi, sosial dan politik menjadi goyah dan tidak pernah stabil. Negara berpecah kepada puak-puak dan kelompok-kelompok, rakyat saling berkelahi kerana hasad dengki. Tamadun baru ini kini terbukti gagal sama sekali mewujudkan keamanan untuk manusia sejagat. Ia gagal mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan untuk manusia walaupun mereka berjaya meneroka pelbagai penemuan sains, walaupun mereka memiliki kekayaan yang melimpah ruah, mempunyai negara yang kuat dan setelah berkuasa selama satu kurun.

 

8. Materialisme Melanda Negara Islam

Eropah giat berusaha mengembangkan arus materialisme ini bersama budaya dan kuman perosaknya ke seluruh negara Islam yang berada dalam genggaman mereka dan setiap bumi Islam yang jatuh ke dalam kuasa mereka. Dalam masa yang sama mereka berusaha memastikan segala elemen kuasa seperti ilmu pengetahuan, kepakaran dan sistem yang baik disekat daripada umat Islam. Mereka merencana segala serangan sosial ini dengan amat bijak menggunakan segala kelicikan politik dan kuasa ketenteraan mereka.

Sehingga mereka berjaya mencapai apa yang mereka inginkan. Mereka memperdaya pemimpin-pemimpin umat Islam dengan memberikan pinjaman dan menjalankan urusniaga bersama. Malah mereka memudahkan segala urusniaga ini. Dengan cara ini mereka berhak campur tangan dalam hal ehwal ekonomi negara Islam. Mereka berjaya melambakkan modal, bank-bank dan syarikat-syarikat mereka. Mereka menentukan aliran ekonomi menurut kehendak mereka. Mereka mengaut segala keuntungan dan kekayaan. Seterusnya mereka berkuasa mengubah dasar politik, kehakiman dan pendidikan. Mereka mempunyai kuasa menentukan sistem politik, perundangan dan pendidikan supaya menurut acuan mereka sepenuhnya termasuk di negara Islam yang terkuat.

Mereka membawa masuk wanita-wanita yang tidak berpakaian, arak-arak, teater-teater, kelab malam, hiburan, filem-filem, akhbar, novel, fiksyen serta cara mereka berhibur dan membuang masa. Mereka membenarkan jenayah dilakukan walaupun jenayah yang sama tidak dibenarkan di negara mereka. Mereka menjadikan dunia yang penuh dengan hiburan, dunia yang bergelumang dengan dosa dan noda ini begitu menarik ditonton oleh umat Islam yang kaya-raya, umat Islam yang berpengaruh dan berkedudukan tetapi berfikiran cetek.

Bukan setakat itu sahaja malah mereka membina sekolah-sekolah serta pusat pengajian ilmu dan sains dalam negara Islam. Institusi ini berperanan mendidik umat Islam supaya ragu dan menolak agama mereka. Mereka mendidik umat Islam supaya merendahkan diri sendiri, memperlekeh agama dan negara sendiri, membuang budaya dan akidah sendiri sebaliknya mengagung-agungkan segala yang datang daripada Barat. Sehingga umat Islam berkeyakinan bahawa segala yang dihasilkan oleh Eropah adalah contoh yang terbaik untuk hidup ini.

Sekolah-sekolah ini hanya menerima masuk anak-anak kelas atasan dan dikhususkan untuk golongan ini sahaja. Anak-anak kelas atasan ini adalah anak-anak para pembesar dan pemimpin, dan urusan umat ini tidak lama lagi akan berada di tangan mereka. Jika institusi boneka ini belum cukup mematangkan mereka, maka program-program susulan akan menyempurnakannya.

Serangan sosial yang diatur begitu kemas dan intensif ini beroleh kejayaan besar. Serangan seperti ini sesuai dengan manusia, dekat dengan jiwa manusia, bersifat jangka panjang dan amat berkesan. Oleh kerana itulah serangan seperti ini jauh berkali ganda lebih merbahaya daripada serangan politik dan ketenteraan.

Beberapa bangsa Islam begitu ghairah dengan tamadun Eropah sehingga mereka merasa tidak selesa dengan identiti mereka sebagai Islam. Malah rakyat Turki terdorong untuk mengakui bahawa Turki bukan negara Islam. Mereka begitu bersemangat meniru apa sahaja yang dilakukan oleh Eropah. Amanullah Khan, Raja Afghanistan cuba melakukan usaha yang sama, namun usahanya itu menyebabkan dia kehilangan takhta. Budaya meniru ini semakin menular di Mesir sehinggakan seorang tokoh yang agak berpengaruh secara terus terang menyatakan bahawa tiada jalan lain untuk maju melainkan dengan cara kita mencedok tamadun ini sama ada yang baik atau yang buruk, yang manis mahupun yang pahit, yang disukai mahupun yang dibenci, yang dipuji mahupun yang dicaci. Kesan ini begitu cepat menular daripada Mesir ke negara-negara jiran hingga sampai ke hujung barat (Maghribi dan kawasan sekitarnya) dan menggoyah nilai-nilai suci satu perempat tanah Hijaz.

Negara-negara Islam yang terpengaruh dengan tamadun materialisme ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

1.  Negara yang terlalu terpengaruh hingga mengubah hati dan perasaan mereka. Malah mengubah segala budaya dan penampilan mereka. Negara-negara ini antaranya ialah Turki dan Mesir. Di negara-negara ini, gagasan Islam telah dipinggir daripada budaya masyarakat dan hanya terperosok di masjid-masjid dan tempat-tempat keagamaan.

2.  Negara yang terpengaruh dengan tamadun Eropah dalam aspek budaya dan penampilan tetapi tidak berjaya mempengaruhi sentimen mereka. Negara-negara ini seperti Iran, negara-negara di bahagian barat dan utara Afrika.

3.  Negara yang hanya kelompok tertentu di kalangan golongan berpendidikan dan pemerintah sahaja terpengaruh dengan budaya Eropah seperti Syria, Iraq, Hijaz, sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab dan beberapa negara Islam yang lain.

Namun demikian arus ini begitu cepat tersebar hingga akhirnya berjaya mempengaruh semua lapisan masyarakat dan budaya.

Musuh-musuh Islam telah berjaya memperdaya para cendikiawan Islam serta mengaburi pandangan umat Islam yang lain. Mereka menggambarkan seolah-olah Islam hanyalah membabitkan beberapa amalan akidah, ibadat dan akhlak. Selain itu Islam digambarkan hanya merupakan beberapa upacara, amalan karut dan penampilan yang kosong. Muslihat mereka ini dibantu oleh kejahilan umat Islam yang tidak memahami agama mereka yang sebenar. Fenomena ini menyebabkan sebahagian besar umat Islam merasa selesa dan setuju dengan gambaran seperti ini. Seterusnya apabila masa berlalu, agak sukar untuk kita menerangkan kepada mereka bahawa Islam adalah suatu sistem sosial yang lengkap mencakupi seluruh aspek hidup manusia.

Dengan ini, kita terpaksa akui bahawa tamadun Barat yang bertunjangkan fahaman materialisme telah berjaya menguasai pertembungan sosial ini menentang tamadun Islam yang bertunjangkan fahaman yang menggabungkan antara roh dan jasad. Mereka telah berjaya di bumi Islam sendiri. Mereka berjaya dalam pertembungan di lapangan yang sebenar iaitu jiwa, rohani, akidah dan akal manusia. Mereka juga telah berjaya di lapangan politik dan ketenteraan. Semua ini tidak menghairankan kerana hidup ini sebenarnya satu; suatu kekuatan adalah tetap suatu kekuatan dalam semua aspek hidup, dan suatu kelemahan adalah tetap suatu kelemahan dalam semua aspek hidup.

Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan dan kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia. (Aali Imran: 140)

Walau bagaimanapun dasar dan ajaran Islam masih tetap kukuh sebagaimana asalnya, masih segar dan bernyawa, masih mampu menarik perhatian melalui kehebatan dan keindahannya. Islam tetap segar kerana Islam adalah agama yang benar. Malah hayat insan tidak akan sempurna tanpa Islam. Juga kerana Islam adalah ciptaan Allah dan dijaga oleh-Nya.

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Al-Hijr: 9)

Sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (At-Taubah: 32)

Kesedaran : Sepertimana ancaman politik yang mampu membangkitkan sentimen perkauman, ancaman sosial juga telah menghidupkan semula gagasan Islam. Hasilnya, pelbagai suara bangkit menuntut supaya umat Islam kembali kepada Islam; Kembali kepada memahami dan melaksanakan hukum serta sistem Islam. Sudah pasti tidak lama lagi akan tiba masanya tamadun materialisme ini jatuh tersembam di atas batu jemala pendokong dan penganutnya. Ketika itu mereka merasa betapa hati dan rohani mereka begitu dahaga. Namun di sana hanya ada satu sumber sahaja yang mampu memberikan santapan dan rawatan untuk mereka iaitu Kitab Allah:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal). (Yunus: 57-58)

 

9. Dakwah Kita Adalah Dakwah Penggerak Dan Penyelamat

a) Tanggungjawab yang besar : Wahai Ikhwan, Allah mahu kita mewarisi tanggungjawab yang besar ini. Allah mahu supaya sinar dakwah kamu terpancar menerangi seluruh kegelapan ini. Allah melahirkan kamu untuk memartabatkan kalimah-Nya, mendokong syariat-Nya dan menegakkan semula negara-Nya.
Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugama-Nya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Al-Haj: 40)

b) Matlamat utama kita : Wahai Ikhwan, apakah yang kita mahu? Adakah kita mahu mengumpulkan harta sedangkan harta itu akan lenyap? Adakah kita mahukan pengaruh sedangkan ia suatu yang tidak bererti? Adakah kita mahu bermaharajalela di muka bumi?
Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya. (Al-A’raf: 128)

Bukankah kita pernah membaca firman Allah Taala:
Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Al-Qasas: 83)

Allah menjadi saksi bahawa kita tidak pernah sedikitpun mahukan semua ini. Bukan itu tujuan kita bekerja dan bukan ke arah itu dakwah kita. Namun ingatlah sentiasa bahawa kamu mempunyai dua matlamat besar:

1.  Membebaskan Dunia Islam daripada semua cengkaman kuasa asing yang sememangnya merupakan hak semulajadi semua manusia. Hanya orang yang bersikap kejam dan diktator sahaja yang akan menafikannya.

2.  Menegakkan sebuah negara Islam yang bebas di bumi ini. Negara yang mampu melaksanakan hukum-hukum dan sistem sosial Islam. Sebuah negara yang dapat menampilkan ajaran Islam yang sebenar dan dapat menyebarkannya secara bijaksana kepada semua manusia. Selagi negara ini tidak wujud, selagi itulah seluruh umat Islam berdosa. Umat Islam akan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah kerana mereka dianggap cuai dan tidak berusaha mewujudkannya. Adalah suatu pencabulan kepada hak-hak kemanusiaan terutama dalam keadaan yang tidak menentu ini apabila wujudnya sebuah negara yang melaungkan dasar-dasar yang kejam dan menyebarkan fahaman-fahaman yang sesat namun tidak wujud sesiapapun yang berusaha menegakkan sebuah negara yang berpegang kepada kebenaran, keadilan dan keharmonian.

Kita mahu kedua-dua matlamat ini tercapai di lembah Nil ini, di negara-negara Arab dan di seluruh muka bumi yang Allah berikan anugerah untuk mengecapi nikmat Islam sebagai suatu agama, suatu identiti, dan suatu akidah yang menyatukan seluruh umat Islam.

c) Matlamat khusus kita : Selain kedua-dua matlamat tadi kita mempunyai matlamat khusus. Sebuah masyarakat akan hanya menjadi sebuah masyarakat Islam yang sempurna apabila matlamat ini tercapai. Wahai Ikhwan, sedarlah bahawa 60% rakyat Mesir hidup lebih rendah daripada taraf haiwan. Mereka terpaksa bersusah payah untuk mendapat sesuap nasi. Mesir juga diancam kebuluran dan berhadapan dengan pelbagai kegawatan ekonomi yang hanya Allah sahaja tahu kesudahannya. Di Mesir juga terdapat 320 buah syarikat asing yang memonopoli kesemua kemudahan dan kepentingan awam di seluruh pelusuk Mesir. Aliran urusniaga, industri dan sektor ekonomi semuanya berada di tangan orang asing yang mengamalkan riba. Hartanah berpindah dengan begitu pantas daripada rakyat tempatan kepada rakyat asing. Mesir merupakan negara moden di dunia yang paling teruk dilanda wabak dan penyakit. Lebih 90% rakyat Mesir dijangka berhadapan dengan ketidak upayaan fizikal, kecacatan pancaindera serta pelbagai kecacatan dan penyakit. Mesir sehingga kini masih dibelenggu kejahilan apabila tidak sampai satu perlima sahaja yang mendapat pendidikan. Dengan jumlah itu hanya seratus ribu orang sahaja yang mendapat pendidikan melebihi tahap sekolah rendah. Kejadian jenayah bertambah berlipat ganda dan semakin meningkat dengan peratus yang amat tinggi hingga menyebabkan lepasan penjara lebih ramai daripada lepasan sekolah. Sehingga kini Mesir masih tidak mampu mewujudkan satu pasukan tentera yang mempunyai kelengkapan senjata yang secukupnya. Situasi yang sama berlaku pada mana-mana negara Islam di seluruh dunia. Jadi salah satu matlamat  kamu ialah kamu berusaha untuk memulihkan sistem pendidikan, menghapuskan kemiskinan, kejahilan, penyakit, jenayah, membentuk masyarakat contoh yang layak mendokong syariat Islam.

d) Wahana atau wasilah utama kita : Bagaimana kita boleh mencapai matlamat ini? Ceramah, ucapan, buku, pengajian, mengenalpasti penyakit dan ubat sahaja tidak akan membawa apa-apa kesan dan tidak akan dapat membawa pendakwah kepada matlamat. Sebaliknya dakwah perlu menggunakan segala wahana. Wahana yang perlu digunakan oleh semua gerakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah tiga perkara berikut:

1.  Iman yang mantap.

2.  Pembentukan yang kemas.

3.  Usaha yang berterusan.

Wahai Ikhwan, ini adalah wahana kamu. Oleh itu yakinilah gagasan kamu, bersatulah, beramallah dan berpegang teguhlah dengan gagasan tersebut.

e) Wahana tambahan : Selain wahana tadi, terdapat beberapa wahana tambahan yang perlu digunakan. Ada di antara wahana ini yang bersifat defensif dan ada yang bersifat ofensif. Ada yang sesuai dengan budaya masyarakat dan ada yang bertentangan sama sekali dengan budaya mereka. Ada yang lembut dan ada yang keras. Kita perlu melatih diri supaya mampu menggunakan kesemua wahana ini dan bersedia menerima semua wahana ini supaya dapat menjamin kejayaan kita. Mungkin kita perlu menongkah adat resam atau membelakangkan budaya yang sedia diamalkan oleh masyarakat. Sememangnya dakwah ini sebenarnya ialah menongkah kebiasaan dan mengubah adat serta budaya. Adakah kamu sudah bersedia, wahai Ikhwan?

f) Cabaran : Ramai yang akan berkata, apakah yang anda maksudkan dengan wahana-wahana ini? Apakah ia mampu membina umat ini atau memulihkan masyarakat ini. Sedangkan kini pelbagai krisis melanda dan segala kepincangan ini seakan sudah sebati? Bagaimana kamu dapat mengatasi masalah ekonomi tanpa mengamalkan riba? Apakah sikap kamu berhubung isu wanita? Bagaimana kamu dapat mencapai hak kamu tanpa menggunakan kekerasan?

Wahai Ikhwan, sedarlah bahawa syaitan akan menyuntik jarumnya ke dalam fikiran semua pendokong perubahan. Namun Allah akan menghilangkan segala bisikan syaitan ini kemudian Dia akan menunjukkan tanda-tanda kebesaran-Nya. Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Ingatkan mereka semua bahawa sejarah telah mengajar kita kisah-kisah bangsa silam dan masa kini yang membawa pelbagai pengajaran dan pedoman untuk kita semua. Sebuah bangsa yang gigih berjuang untuk hidup tidak akan mati.

g) Rintangan sepanjang jalan : Saya ingin jelaskan kepada kamu bahawa dakwah kamu ini masih belum dikenali ramai. Apabila tiba masanya ketika mereka mengenali dan memahami tujuan dan matlamat dakwah ini, dakwah ini akan ditentang dan dimusuhi dengan hebat. Kamu akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran. Pelbagai rintangan akan menghalang jalan kamu. Pada ketika itu barulah kamu melalui jalan para pendokong dakwah. Kini kamu masih belum dikenali. Kamu baru melangkah ke arah dakwah. Kamu masih mempersiapkan diri untuk sedia berjuang dan berjihad. Kejahilan masyarakat tentang Islam yang sebenar akan menjadi halangan sepanjang jalan kamu. Kamu akan berhadapan dengan beberapa tokoh agama dan beberapa ulamak tradisi. Mereka akan menolak fahaman kamu tentang Islam dan jihad kamu untuk Islam. Para pembesar, pemimpin dan mereka yang berkuasa akan irihati dengan kamu. Semua kerajaan akan menghalang jalan kamu. Setiap kerajaan akan menyekat kegiatan kamu dan mereka akan mewujudkan pelbagai sekatan sepanjang jalan kamu.

Mereka akan saling bekerjasama menggunakan apa sahaja cara untuk menghapuskan kamu dan melenyapkan sinar dakwah kamu. Mereka akan mempergunakan segala kerajaan yang lemah, golongan yang berakhlak buruk, golongan yang pada satu masa menghulur tangan mengharapkan bantuan mereka dan dalam masa yang lain menghulur tangan menindas dan memusuhi kamu. Semua pihak akan menimbulkan pelbagai wasangka dan fitnah kepada dakwah kamu. Mereka akan cuba memburuk-buruk dakwah ini. Mereka akan memaparkan dakwah ini kepada orang ramai dalam bentuk yang amat buruk. Mereka akan menggunakan segala kekuatan dan kuasa yang ada pada mereka. Mereka akan bertindak menggunakan segala harta dan kuasa yang mereka miliki.

Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (At-Taubah: 32)

Sudah tentu kamu terpaksa melalui era ujian dan cubaan. Kamu akan dipenjara dan ditangkap. Kamu akan dihalau dan diusir. Segala harta kamu akan dirampas. Kamu akan dipecat dan rumah kamu akan digeledah. Mungkin ujian ini akan berlaku dalam tempoh yang lama.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut: 2)

Namun Allah janjikan kamu kemenangan bagi mereka yang berjuang. Allah janjikan ganjaran bagi mereka yang benar-benar beramal.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugama-Nya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang. (Al-Saf: 10-14)

Adakah kamu masih mahu menjadi penolong Allah?

h) Faktor kejayaan : Wahai Ikhwan, di samping semua rintangan yang ada ini, kita perlu ingat kita kini sedang membawa dakwah Allah, dakwah yang paling mulia. Kita kini sedang melaungkan gagasan Islam, gagasan yang paling ampuh. Kita kini sedang mengemukakan kepada manusia undang-undang al-Quran, undang-undang yang paling adil.

 (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Al-Baqarah: 138)

Dunia sebenarnya menaruh harapan pada dakwah ini malah segala usaha ke arah ini. Syukur kepada Allah, kita tidak pernah lakukannya kerana tujuan peribadi, jauh sekali daripada kepentingan sendiri. Apa yang kita lakukan hanya mengharapkan keredaan Allah dan untuk kebaikan manusia. Kita bekerja kerana mencari keredaan Allah. Kita menanti-nanti bantuan Allah kerana mereka yang dibantu oleh Allah tiada siapa yang dapat mengalahkannya.

 

Oleh itu, kekuatan dakwah kita, keperluan manusia kepada dakwah ini, ketulusan matlamat kita dan bantuan Allah merupakan faktor kejayaan yang mampu merempuh segala rintangan dan halangan.

Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf: 21)

 

10. Pesanan

Wahai Ikhwan al-Muslimin, dengarlah!

Apa yang ingin saya ketengahkan di sebalik ucapan saya ini ialah supaya saya dapat paparkan gagasan kamu di hadapan mata kamu kerana mungkin detik-detik yang mencabar sedang menanti kita. Mungkin kita akan dipisahkan. Ketika itu saya tidak lagi berpeluang untuk bercakap dengan kamu atau menulis kepada kamu. Jadi saya berpesan agar kamu berikan perhatian betul-betul kepada ucapan saya ini. Ingatlah seboleh mungkin dan bersatu padulah. Setiap perkataan dalam ucapan ini mengandungi makna yang mendalam.

Wahai Ikhwan, kamu bukan pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, bukan badan yang ditubuhkan untuk tujuan yang terbatas. Kamu adalah semangat baru yang mengalir di hati umat ini dan menghidupkan umat ini dengan al-Quran. Kamu adalah cahaya baru yang bersinar menghapuskan kegelapan materialisme ke arah mengenali Allah. Kamu adalah suara yang berkumandang bergema melaungkan dakwah Rasulullah s.a.w.. Tidak keterlaluan jika kamu merasakan bahawa kamu adalah orang-orang yang memikul beban ini setelah semua manusia membelakangkannya.

Jika kamu ditanya, ke arah manakah halatuju kamu? Jawablah, kami menyeru manusia ke arah Islam yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.. Kerajaan adalah sebahagian daripada Islam dan kebebasan adalah salah satu hak yang wajib diberikan. Jika kamu diberitahu ini adalah politik! Jawablah, ini adalah Islam dan kami tidak tahu wujudnya pemisahan itu.

Jika kamu dituduh, kamu adalah penggerak revolusi. Jawablah, kami adalah penggerak kebenaran dan kesejahteraan. Kami yakini dan kami berbangga dengan kebenaran ini. Jika kamu menentang kami dan kamu halang jalan dakwah kami maka Allah telah benarkan kami untuk mempertahankan diri dan kamulah orang yang membuat kekacauan dan kezaliman. Jika kamu dituduh, kamu mendapat bantuan individu atau pertubuhan tertentu. Jawablah:

Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik. (Ghafir: 84)

Jika mereka terus bertindak jahat, katakanlah:

Selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil. (Al-Qasas: 55)

 

Tanggungjawab

Wahai Ikhwan,

Berimanlah dengan Allah, berbanggalah kerana kamu mengenali-Nya. Bergantunglah kepada-Nya dan letakkanlah harapan kamu kepada-Nya. Janganlah kamu takut kepada yang lain, tunaikanlah perintah-Nya dan jauhilah larangan-Nya.

Amalkanlah akhlak yang mulia dan berusahalah ke arah kesempurnaan. Mantapkanlah peribadi kamu. Berbanggalah kerana kemuliaan dan penghormatan yang Allah berikan kepada kamu sebagai orang yang beriman dan soleh.

Tatapilah dan pelajarilah al-Quran, kajilah sirah Rasulullah s.a.w., jadilah orang yang beramal bukan orang yang bercakap sahaja. Apabila Allah memberi hidayah kepada manusia, Dia akan pimpin mereka supaya beramal. Manusia yang diberikan hidayah tidak akan sesat kecuali setelah mereka sentiasa berdebat.

Pupuklah kasih sayang sesama kamu. Peliharalah sebaik-baiknya hubungan kamu kerana ia adalah rahsia kekuatan kamu dan teras kejayaan kamu. Bersabarlah hingga Allah menentukan kedudukan kamu dengan kaum kamu dan Allah sebaik-baik penentu.

Dengar dan taatilah pemimpin kamu di ketika susah dan senang, rela atau terpaksa. pemimpin adalah simbol gagasan kamu dan penghubung antara kamu.

Nantikanlah sentiasa bantuan dan kemenangan daripada Allah. Masanya pasti akan tiba.

Dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira – Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Ar-Rum: 4-5)

Semoga Allah memberi taufik kepada saya dan saudara sekalian supaya kita dapat melakukan apa yang disukai dan diredai-Nya. Semoga Allah memimpin saya dan saudara sekalian ke arah jalan orang-orang yang baik dan mendapat petunjuk. Semoga Allah anugerahkan kita hidup yang mulia dan bahagia. Semoga Allah menggolongkan kita sebagai seorang pejuang dan syahid. Sesungguhnya Allah adalah Pelindung dan Penolong yang terbaik.


[1] Pada tahun 583 Hijrah

[2] Pada tahun 658 Hijrah

[3] Akhirnya Syria berjaya juga mencapai kemerdekaannya. Pelbagai negara mengiktiraf kemerdekaan Syria dan mereka berjaya mengusir Perancis. Begitulah juga yang berlaku pada negara-negara Arab yang lain.

Leave a Comment