Abdullah bin Jahsy

Abdullah bin Jahsy r.a adalah anak kepada ibu saudara Rasulullah SAW, Umamah binti Abdul Mutallib dan juga ipar kepada Rasulullah SAW kerana Rasulullah SAW mengahwini saudara perempuannya Zainab binti Jahsy r.a.

Silsilah keturunan Abdullah bin Jahsy

 

Abdullah bin Jahsy r.a termasuk dikalangan 40 orang pertama yang memeluk Islam (al-Sabiqun al-Awwalun).

Penghijrahan Abdullah bin Jahsy ke Madinah

Ketika Rasulullah SAW mengizinkan para sahabat untuk berhijrah ke Madinah, Abdullah bin Jahsy adalah orang kedua berhijrah selepas Abu Salamah r.a. Penghijrahan ini bukanlah sesuatu yang baru bagi beliau kerana beliau telah terlibat dalam hijrah ke Habsyah sebelum ini, cuma penghijrahan kali ini disertai isteri dan anak.

Berikutan daripada hijrah beliau ke Madinah, harta-harta peninggalan dan kekayaan Abdullah bin Jahsy telah di rampas oleh Abu Jahal. Peristiwa ini berlaku apabile para pembesar Quraisy yang mengadakan rondaan bagi memeriksa sudut-sudut kota Mekah mendatangi perkampunang Bani Jahsy, iaitu setelah Abdullah bin Jahsy meninggalkan kota Mekah. Pemimpin meraka, Abu Jahal yang mendapati rumah Abdullah bin Jahsy tidak berpenghuni dan dipenuhi harta kekayaan, telah mengambil seluruh harta itu.  Perkara ini kemudiannya sampai ke pengatahuan Abdullah bin Jahsy dan beliau mengadu kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah telah menjawab:     “Allah akan menggantikannya dengan rumah yang paling baik di Syurga”

 

Abdullah bin Jahsy sebagai Amirul Mukminin

Untuk membentuk pasukan tentera Islam, Rasulullah SAW telah memilih 8 orang yang dipandangnya mampu berperang termasuk Abdullah bin Jahsy dan Sa’ad bin Abi Waqqash r.a. Dalam pasukan ini, Abdullah bin Jahsy telah terpilih sebagai ketua dan telah diserahkan bendera Islam pertama kepadanya. Bendera ini telah diikat pada tongkat Rasullulah SAW. Abdullah bin Jahsy telah digelar Amirul Mukminin kerana peristiwa ini.

Setelah dilantik sebagai amir, beliau telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk merisik dan mengintip musuh. Rasulullah telah memberi Surat Perintah kepada beliau dan melarang beliau membuka surat itu melainkan sesudah dua hari perjalanan. Oleh itu sesudah dua hari perjalanan, beliau telah membuka surat itu dan membacanya:

“ Bila kamu membaca surat ini, teruskanlah perjalananmu ke arah Mekah. Berhentilah diantara Taif dan Mekah. Amatilah gerak-geri kaun Quraisy dan segera laporkan kepadaku.”

Sesuai dengan arahan Rasulullah SAW, Abdullah bin Jahsy r.a meneruskan perjalanannya dan tiba di Nakhlah. Di tempat tersebut mereka mempersiapkan pos perisikan dan ketika mereka bersiap-siap, tiba-tiba dari jarak yang agak jauh mereka terlihat sekumpulan kabilah Quraisy terdiri daripada Amr bin Hadhramy, Hakam bin Kaysan, Utsman bin Abdullah dan al-Mughirah bin Abdullah. Mereka membawa dagangan seperti kulit, anggur dan sebagainya. Abdullah bin Jahsy telah bermesyuarat dengan pasukannya untuk menyerang atau membiarkan kabilah Quraisy itu. Di saat akhir bulan Haram, jika mereka melakukan penyerangan, bererti melanggar kehormatan bulan itu serta akan mendatangkan kemarahan bangsa Arab. Akan tetapi jika kabilah itu dibiarkan lalu, mereka akan masuk ke tanah Haram (Mekah) iaitu bererti membiarkan mereka masuk ke tempat aman.

Akhirnya mereka memutuskan menyerang dah merampas harta kabilah itu.  Seorang anggota rombongan tewas, dua ditawan dan seorang lagi berjaya melarikan diri. Tibanya di Madinah, harta rampasan dan tawanan dibawa dihadapan Rasulullah SAW. Abdullah bin Jahsy dan pasukan telah dimarahi kerana bertindak diluar arahan dan perintah Rasulullah SAW.

Baginda telah menangguhkan keputusan mengenai hukuman harta rampasan dan dua tawanan perang sementara menunggu keputusan dari Allah. Abdullah bin Jahsy dan pasukan telah digantung kerja. Mereka jelas bersalah kerana melanggar perintah Rasulullah SAW. Kaum muslimin mencela mereka sehingga mereka terase dipulaukan. Penyesalan dan kesedihan menjadi lebih teruk apabila mereka mengetahui kaum Quraisy menggunakan peluang ini untuk menekan Rasulullah SAW dan kaum Muslimin. Mereka menyebarkan berita dikalangan kabilah-kabilah Arab, bahawa kaum Muslimin telah menghalalkan pertumpahan darah dan perampasan harta dibulan Haram.

Abdullah bin Jahsy menganggung beban mental yang sangat hebat. Walaubagaimanapun, beliau tetap terus beristigfar dan memohan ampun kepada Allah SWT sehingga turunnya Al-Baqarah ayat 217 membawa berita gembira. Turunnya ayat ini telah menenangkan hati Rasulullah SAW. Harta rampasan diberike Baitul Man dan kedua tawanan dibebaskan.  Harta rampasan ini adalah harta rampasan pertama umat Islam dan musuh yang dibunuh adalah musyrik pertama yang tertumpah darahnya di tangan kaum Muslimin. Bendara pasukan mereka juga, bendara pertama yang diikat oleh Rasulullah.

 

Syahidnya Abdullah bin Jahsy

Abdullah bin Jahsy adalah antara sahabat yang syahid dalam perang Uhud. Di dalam perang ini Abdullah bin Jahsy dan Saad bin Waqqash r.a telah berdoa di sebuah tempat yang agak terpencil.

Doa Saad bin Waqqash r.a:

“Ya Allah, pertemukanlah aku dengan musuh yang paling buas dan jahat. Aku akan melawannya dan berilah aku kemenangan”

Abdullah bin Jahsy mengaminkan doa seraya menambah:

Ya Allah, pertemukanlah aku dengan musuh yang jahat dan buas. Aku akan melawannya dan aku tewas ditangannya. Dia kemudian memotong hidung dan telingaku”

Ketika perang Uhud berakhir, ternyata Allah memakbulkan doanya. Para sahabat menemukan jasadnya tewas sepertimana doanya. Hidung dan telinganya buntung dan tubuhnya digantung dengan seutas tali. Allah SWT memuliakan nya dengan pahala syahid bersama Hamzah bin Abdul Muttalib r.a. Keduanya tewas dan dimakamkan didalam satu kubur. Air mata Rasulullah telah membasahi kubur mereka menambah harumnya darah syahid yang melumuri jasab mereka. Semoga mereka dirahmati. Amin.

Timeline kehidupan Abdullah bin Jahsy

Sumber rujukan:

Sejarah 133 wira terbilang di zaman Rasulullah SAW.

Dr. Khalid Muhammad Khalid

Al-Hidayah.

Leave a Comment