‘Abdullah bin ‘Abbas

Ya Allah fahamkanlah (faqihkanlah) ia. (Hadis Riwayat Muslim)

Beliau seorang pemuda tetapi matang seperti lelaki berumur 30-50 tahun, suka bertanya dan sangat bijaksana (‘Umar al-Khattab)

Abdullah bin Abbas (عبد الله ابن عباس‎ (619 – Thaif, 687/68H)), adalah sepupu kepada Nabi saw., tokoh yang paling ‘alim tentang al-Quran dan paling faqih dengan tafsirannya dan beliau menghafaz 1,660 hadis yang ditsabitkan oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kitab shohih mereka. Beliau ditahnikkan oleh Nabi saw. dan membesar di bawah asuhan baginda. Kemana sahaja pemergian Nabi saw., selalunya Abdullah bin Abbas akan turut serta. Ketika baginda saw., hendak berwuhduk, beliau menyediakan airnya, ketika baginda saw. menunaikan solat, beliau berdiri solat di belakangnya !

 “Ya Allah ! Kurniakanlah kepadanya hikmah”, doa Nabi saw. kepada beliau.

Qudwah daripada Nabi saw. telah membentuk keperibadian muslim yang sungguh menakjubkan dalam diri Ibnu Abbas. Abdullah bin Mulaikah pernah menceritakan bahwa ketika menemani Ibnu Abbas dari Mekah ke Madinah, mereka berhenti rehat. Apabila malam, beliau Ibnu Abbas akan bangun bersolat pada pertengahan malam sedangkan manusia lain tidur kerana terlalu letih. Pada satu malam saya dengar beliau membaca;

وَجَاءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَقِّ ذَلِكَ مَا كُنْتَ مِنْهُ تَحِيدُ (١٩)

Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah “Sakaratulmuat” membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara Yang Engkau selalu mengelak diri daripadanya!” (Surah Qaf: 19)

Beliau terus mengulang-ulang ayat tersebut dan menangis teresak-esak sehingga terbit fajar.

Diceritakan juga bahwa Ibu Abbas adalah seorang pemuda yang tampan. Bagaimanapun, beliau sering menangis pada malam hari lantaran takutkan Allah sehingga air mata yang mengalir itu membentuk dua lekuk di pipinya yang gebu.

Subhanallah !

Kesungguhan Ibnu Abbas untuk menguasai harta warisan Nabi saw.

Beliau menceritakan berkenaan dirinya;

Apabila sampai kepada saya maklumat, terdapat hadis Nabi pada seorang sahabat Rasulullah saw. saya akan pergi ke pintu rumahnya pada waktu qailulah 1. Saya jadikan kain lepas saya sebagai bantal yang saya sandarkan di bendul pintu rumahnya. Maka debuan tanah bertebaran ke atas saya sesukanya ditiup angin. Jika saya mahu meminta izin kepadanya untuk masuk nescaya beliau akan mengizinkannya…

Saya lakukan semua itu adalah untuk mengambil hati sahabat tersebut.

Apabila beliau keluar dari rumahnya, beliau melihat saya dalam keadaan ini, lantas bertanya;

“Wahai sepupu Rasuullah, apakah sebabnya tuan datang? Kenapa tuan tidak menghantar utusan agar saya pergi menemui tuan?”

Saya berkata;

“Saya lebih berhak untuk datang kepada tuan. Ilmu perlu didatangi penuntutnya, bukannya ia yang datang kepada mereka.”

Saya pun bertanyakan kepada beliau mengenai hadis Nabi yang dimilikinya.

Dirinya, rumahnya ibarat sebuah universiti, dengan ratusan pelajar walhal dengan seorang lecturer. Ketika ada majlis dirumah beliau, orang ramai berkumpul sehingga bersesak-sesak dan menutup jalan-jalan menghala ke universitinya. Dia mengajar pelbagai subjek mengikut sesi yang memenuhi ruangan rumah dan biliknya contohnya subjek al-Quran dan qira’at. Selesai satu subjek, beliau meneruskan dengan subjek yang lain seperti tafsir al-Quran dan takwilnya, halal dan haram dan feqah, faraidh dam bahasa arab, syair dam percakapan arab yang pelik.

Disebabkan kesesakan yang amat di rumahnya, Ibnu Abbas akhirnya mengagihkan pengajaran ilmu-ilmu tersebut kepada beberapa hari. Ada hari untuk kuliah tafsir dan sebagainya.

Ibnu Abbas menyanjung para ulama’

Zaid bin Tsabit adalah penulis wahyu, ketua penduduk Madinah dalam bidang kehakian, fiqh, qira’at dan faraidh. Ketika ZAid hendak menunggang tunggangannya, anak muda keturunan Bani Hasyim ini, Abdullah bin Abbas berdiri dengan penuh hormat di hadapannya. Seolah-olah beliau seorang hamba yang sedang berdiri di hadapan tuannya. Beliau memegang tempat pijak tunggangan dan mengambil tali pemacunya untuk Zaid.

Zaid lantas berkata kepada beliau;

“Wahai sepupu Rasulullah! Tinggalkan sahaja. Usahlah kamu lakukan demikian.”

Jawab Abdullah, “Beginilah kami diperintahkan melakukannya kepada para ulama kami.”

Zaid pun berkata kepada beliau, “Tunjukkan tanganmu kepada saya.”

Abdullah patuh lalu mengeluarkan tangannya kepada beliau. Tanpa lengah, Zaid membongkok dan mencium tangan Abdullah sambil berkata;

“Begini pula kami diperintahkan melakukannya kepada ahli keluarga Nabi kami.”

Kefaqihan Ibnu Abbas

Sewaktu fitnah berlaku di antara Saidini Ali ra. dan Muawiyah ra., sebahagian pengikut Saidina Ali ra. yakni golongan khawarij meninggalkan beliau dan menghukum Saidina Ali ra. sebagai kafir atas tiga sebab yang mereka tidak persetujui akibat kejahilan mereka. Lantas Ibnu Abbas ra. menawarkan khidmatnya untuk berhujah kepada kaum khawarij untuk membantu sepupu Rasulullah, kanak-kanak lelaki yang pertama beriman dengan Baginda saw. ini. Akhirnya 20 ribu daripada khawarij kembali menyertai barisan Saidina Ali ra. dan tinggal baki 4 ribu yang masih berdegil dan tidak mahu menerima kebenaran.

Ditujukan buat pelaku maksiat

Berkata Ibnu Abbas;

Wahai pelaku dosa, jangan kamu merasa selamat daripada akibat dosa kamu. Ketahuilah, akibat yang mengiringi dosa itu lebih dahsyat daripada dosa itu sendiri.

Sesungguhnya ketawa-hilai kamu sewaktu melakukan dosa sedangkan kamu tidak tahu apa yang Allah lakukan kepada kamu adalah lebih besar daripada dosa itu sendiri.

Sesungguhnya kegembiraan kamu apabila berjaya melakukan dosa adalah lebih besar daripada dosa itu sendiri.

Sesungguhnya ketakutan kamu kepada angin apabila ia menggerakkan kain yang menghalang kami dilihat orang ketika melakukan maksiat, tetapi hati kamu tidak gementar terhadap pandangan Allah kepada kamu, adalah lebih besar daripada dosa itu sendiri.

Wahai orang yang melakukan dosa,

Adakah kamu tahu, apakah dosa Ayub as. ketika Allah menimpakan ujian bala ke atas tubuh dan hartanya ?

Dosanya hanyalah baginda tidak menolong seorang miskin yang meminta pertolongannya untuk menolak kezaliman yang menimpa dirinya (si miskin).

Sumber – Shuwar Min Hayatus Shohabah, Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha, Terjemahan Pustaka Salam Mac 2006

Notes:

  1. Waktu tidur singkat pada tengah hari

Leave a Comment