Ghulam Dakwah – Muqaddimah

Ar-Rasul Qudwatuna

Sewaktu kita berikrar sebagai muslim yakni mengucap dua kalimah syahadah, Asyhadu an Laa Ilaaha Illallaah wa Asyhadu anna Muhammadan Rasuulullaah (Aku bersaksi tiada Ilah selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah) sesungguhnya kita telah bersaksi untuk menafikan segala sesembahan selain Allah swt.. Bersaksi untuk membenarkan Nabi saw. sebagai utusan yang membawa khabar daripada Allah swt. kepada seluruh manusia. Juga bersaksi untuk membenarkan segala isi ajaran yang dibawa.

Justru syahadah itu menuntut kita untuk membenarkan tanpa sebarang pengecualian, meyakini dengan sepenuh hati dan memperjuangkan segala ajaran yang disampaikan oleh Ar-Rasul saw.. Apalah maknanya keimanan kita tanpa meletakkan Nabi Muhammad saw. sebagai qudwah tertinggi. Qudwah, iaitu role model yang kita ambil segala pedoman darinya untuk melayari hidup seharian sebagai hamba. Qudwah, yang ditiru kerana membenarkan dirinya serta ajarannya dan dita’ati segala perintahnya.

Muhammad saw. Tidak Berkata Menurut Al-Hawa

Firman Allah Ta’ala:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى

Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawanya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (An-Najm: 3-4)

تِلْكَ مِنْ أَنْبَآءِ الْغَيْبِ نُوْحِيْهَا إِلَيْكَ مَا كُنْتَ تَعْلَمُهَا أَنْتَ وَلَا قَوْمُكَ مِنْ قَبْلِ هَذَا فَاصْبِرْ إِنَّ الْعَاقِبَةَ لِلْمُتَّقِيْنَ

Itu adalah di antara berita-berita penting tentang yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (Muhammad); tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini.Maka bersabarlah; Sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.“(Huud: 49)

Begitulah testimoni Allah swt. terhadap junjungan besar kita, menandakan betapa perlunya kita beramal dengan pedoman-pedoman yang diberikan melalui hadith-hadith Rasulullah saw.. Rasul saw. tidak berkata mengikut keinginan atau fikirannya sendiri, tetapi sesungguhnya tiap butiran kata yang terucap dari bibirnya adalah dalam bimbingan Allah swt.. Adalah mustahil untuknya berbicara dusta, maka seharusnya kebenaran kata-katanya perlu dibenarkan oleh kita ummatnya!

Maka di dalam buku ringkas ini bakal kita kongsikan bersama Hadis Ghulam yang akan menuntut kita untuk membenarkan setiap point dari kisahnya, walaupun ia telah berlalu pada suatu masa dahulu. Ibrah (pengajaran) dalam kisah Ghulam ini amat sepadan dan sesuai dengan realiti kita pada hari ini dan pastinya akan terus relevan di hari kemudian.

Ulama’ sepakat bahawa keumuman cerita-cerita hadis dari segi watak, masa dan tempat yang tidak disebut secara spesifik oleh Nabi saw., menjadikan pedomannya harus kekal pada pengertian yang ma’ani, dan bukan tersekat pada zaman itu sahaja. Ini supaya seluruh pengalaman dakwah untuk menegakkan aqidah tauhid dapat dicungkil dan dimanfaatkan selama-lamanya, lalu memberi kita suatu bayangan terhadap realiti kekangan-kekangan di jalan dakwah serta penyelesaian yang sesuai bagi setiap kekangan itu.